Kastam tumpas cubaan seludup syabu RM3.5 juta

Kastam tumpas cubaan seludup syabu RM3.5 juta

KOTA KINABALU, 25 Mei – Kastam Sabah menumpaskan cubaan menyeludup syabu seberat 6.239kg bernilai RM3.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 21 Mei lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Janathan Kandok berkata seorang lelaki berumur 34 tahun ditahan ketika mengambil bagasinya kira-kira pukul 3.40 petang selepas tiba dariKuala Lumpur.

“Dadah itu dibungkus dalam enam bungkusan plastik dan dibalut dengan surat khabar lama sebelum dimasukkan dalam satu kotak.

“Kita mencurigai kandungan kotak itu dan melakukan imbasan terhadap kotak berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Janathan berkata pihaknya percaya lelaki itu mungkin terlibat denga sindiket penyeludupan dadah kerana berat dan nilai rampasan adalah besar.

Datuk Dr Janathan Kandok menunjukkan dadah jenis methamphetamine bernilai 3.5 juta yang dirampas Sabtu lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dalam satu sidang media kelmarin. – Bernama
Datuk Dr Janathan Kandok menunjukkan dadah jenis methamphetamine bernilai 3.5 juta yang dirampas Sabtu lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dalam satu sidang media kelmarin. – Bernama

Ditanya mengapa bagasi lelaki itu tidak diimbas terlebih dahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dibenarkan menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu, beliau berkata kastam biasanya tidak melakukan pemeriksaan bagasi untuk penerbangan domestik. – Bernama