Kasuka calar rekod Ranger

Kasuka calar rekod Ranger

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Rentetan tujuh kemenangan berturut-turut Kota Ranger FC sejak dari perlawanan pertamanya dalam aksi Liga Perdana DST berakhir malam tadi apabila terpaksa berkongsi jaringan 2-2 dengan Kasuka FC.

Bukan itu saja, Kota Ranger nyaris mengalami kekalahan pertama dalam kempennya tahun ini, hanya jaringan penalti Abang Nor Sillmy bin Abang Haji Taha tujuh minit sebelum perlawanan berakhir menyelamatkan satu mata dan rekod tanpa kalah Kota Ranger.

Perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu didahului Kota Ranger menerusi jaringan Mohd Helme Panjang pada minit ke-23, namun kedudukan segera berubah menjadi 1-1 enam minit kemudian menerusi jaringan Awangku Mohd Aliyul Azim bin Pengiran Metalie.

Separuh masa kedua terus berlangsung sengit dan pada minit ke-64 Kasuka pula di depan dengan jaringan 2-1 apabila penyerangnya, Mohd Abu Bakar bin Mahari berjasa menembusi benteng pertahanan dan menggegar gawang Kota Ranger.

Saat cemas di depan gawang Kota Ranger (merah) ketika menentang Kasuka FC semalam.
Saat cemas di depan gawang Kota Ranger (merah) ketika menentang Kasuka FC semalam.

Memasuki minit ke-80 permainan, Kota Ranger mula terdesak untuk mendapatkan gol penyamaan dan pada minit ke-82 Abang Nor Sillmy berjaya menemui sasarannya di gawang Kasuka, cuma untuk pengadil sudah awal meniupkan wisel akibat kesalahan pertahanan Kasuka di dalam kotak berbahaya menyebabkan pengadil memberikan sepakan penalti.

Ternyata Abang Nor Sillmy tidak menghampakan diri dan pasukannya apabila menghantar penjaga gol Kasuka ke hala yang salah iaitu ke kanan sedang bola melayang ke kirinya sekali gus memberikan gol penyamaan buat Kota Ranger.

Keputusan seri itu mengekalkan Kota Ranger di puncak liga dengan 22 mata dari lapan perlawanan, hanya satu mata di atas Tabuan U18 yang sudah bermain sembilan kali. Kasuka pula kekal di tangga ketiga dengan 20 mata daripada 10 perlawanan.