Kasuka FC mara ke suku akhir

Kasuka FC mara ke suku akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Mohammad Sahan bin Mumtazali menyelamatkan sekurang-kurangnya lapan percubaan pemain Lun Bawang dalam tempoh 15 saat pada minit terakhir masa kecederaan perlawanan bagi memastikan kemaraan Kasuka FC ke peringkat suku akhir Piala FA DST 2015.

Beliau turut cemerlang menyelamatkan setiap percubaan pemain Kelab Liga Super DST 2015 yang cuba membolosi gawangnya dari awal hingga ke akhir perlawanan terutama sekali dalam tempoh lima minit masa kecederaan untuk membantu Kasuka FC menang tipis 1-0.

Perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) yang berkesudahan tanpa jaringan pada separuh masa pertama itu hanya menyaksikan gol tunggal perlawanan dihasilkan oleh Mohd Abu Bakar Mahari pada minit ke-63, ternyata menjadi gol kemenangan Kasuka FC.

Lun Bawang sekurang-kurangnya mendapat enam sepakan sudut pada minit terakhir masa kecederaan dalam serangan bertali arus untuk mendapatkan sekurang-kurangnya gol penyamaan tetapi hampa.

Namun 10 saat sebelum sepakan pertama dari enam sepakan sudut itu, Muhammad Hafis Mahari hampir meletakkan Kasuka FC di depan dengan jaringan 2-0 apabila berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Lun Bawang tetapi tendangannya dapat didakap kemas oleh Azriel Arman.

Mohammad Sahan bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi dalam kemenangan tipis 1-0 Kasuka FC (merah) ke atas Lun Bawang.
Mohammad Sahan bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi dalam kemenangan tipis 1-0 Kasuka FC (merah) ke atas Lun Bawang.

Selepas sepakan sudut keenam Lun Bawang yang menyaksikan tandukan Yunus Lupat melangkaui palang Kasuka FC, sepakan gol Mohammad Sahan menemui Muhammad Hafis di sayap kiri.

Muhammad Hafis terus melakukan hantaran lintang ke dalam petak, cuma menyaksikan Mohd Yusmin Hatta bin Haji Mohd Yusop yang berlari menuju gawang lawan bergerak sesaat awal ke depan sekali gus terlepas peluang untuk menanduk bola yang sudah tepat menuju kepalanya.

Kejayaan itu menjadikan Kasuka FC sebagai Kelab Liga Perdana DST 2015 pertama layak ke suku akhir Piala FA DST, dan kini hanya perlu menunggu siapa bakal menjadi lawannya di antara tiga Kelab Liga Super DST 2015 iaitu MS ABDB, Wijaya FC ataupun Jerudong FC.

MS ABDB berdepan Wijaya FC terlebih dahulu sebelum pemenang bertembung dengan Jerudong FC bagi tempat ke suku akhir membuat temu janji dengan Kasuka FC yang sedia menanti.

Dua pasukan yang juga sudah mara ke suku akhir ialah Indera SC yang menang 5-1 ke atas Setia Perdana pada 10 November dan MS PDB yang menang 5-2 ke atas Kelab Non-Liga, Hawa FT pada 18 November.