Kasuka FC terlepas peluang sandang naib juara

Kasuka FC terlepas peluang sandang naib juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Kasuka FC tercicir mata dalam usahanya merangkul gelaran naib juara Liga Remaja Bawah 16 Tahun (B-16) NFABD apabila terikat 1-1 dengan Rimba Star, ketika pesaingnya, Projek Ikan Pusu (PIP) memberikan Tabuan A kekalahan pertamanya sekali gus mengesahkan naib juara pasti menjadi miliknya.

Ketika liga menghampiri penghujungnya dengan setiap pasukan masing-masing hanya memiliki baki satu perlawanan, kemenangan 4-3 PIP ke atas pendahulu liga, Tabuan A menjadikan jumlah mata yang dikumpulnya kepada 47 mata, empat mata di depan Tabuan B dan Kasuka FC masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Tabuan B memanfaatkan keputusan seri Kasuka FC dengan Rimba Star untuk naik satu anak tangga ke tangga ketiga selepas menang tipis 1-0 ke atas Kilanas FC Junior, sekali gus menyamai kutipan 43 mata Kasuka FC.

Catatan 43 jaringan dan 27 bolos Tabuan B ternyata lebih baik daripada catatan 39 jaringan dan 26 bolos Kasuka FC untuk Tabuan B menjatuhkan Kasuka FC satu anak tangga ke tangga keempat.

Keputusan seri turut mengesahkan kedudukan Rimba Star akan kekal di tempat kelima liga dengan 39 mata walau apa pun keputusan dicapai Rimba Star pada perlawanan terakhirnya Ahad ini kerana Al-Idrus Junior yang menduduki tempat keenam ketika ini baru mengumpul 30 mata.

Rimba Star (kuning) dan Kasuka FC sekadar berkongsi satu mata dalam aksi Liga Remaja B-16 NFABD hari ini selepas seri 1-1.
Rimba Star (kuning) dan Kasuka FC sekadar berkongsi satu mata dalam aksi Liga Remaja B-16 NFABD hari ini selepas seri 1-1.

Dalam aksi hari ini, Al-Idrus Junior menang bergaya 4-1 ke atas BESA FC untuk memastikan tempat keenam musim ini menjadi miliknya, lebih-lebih lagi pasukan di tangga ketujuh, Kilanas FC Junior kalah 0-1 kepada Tabuan B untuk kekal dengan 25 mata.

BESA FC kekal di tempat kelapan dengan 24 mata selepas pertembungan dua pasukan terbawah liga iaitu BTC Red Star dengan PERDA FC sekadar berakhir seri 0-0 untuk BTC Red Star sekadar naik satu mata menjadi 23 mata sekali gus kekal di tangga kesembilan, sementara PERDA FC naik menjadi 19 mata, masih di tangga tercorot.

Pertarungan sengit PIP dengan Tabuan A ditentukan dengan jaringan lewat Mohd Asyra’af Rhymie pada minit terakhir, minit ke-60 perlawanan selepas rakannya Abdul Hakeem menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-54 untuk menyamakan kedudukan menjadi 3-3.

Dalam kemenangan 1-0 Tabuan B ke atas Kilanas FC Junior, gol kemenangan Tabuan B telah dijaringkan oleh Mohd Adi Aiman seawal minit ke-2.

ARTIKEL YANG SAMA