Kasut Messi cetus kontroversi

Kasut Messi cetus kontroversi

KAHERAH, 31 Mac (Reuters) – Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi mendapati dirinya terpalit kontroversi di Mesir selepas ahli politik dan pegawai bola sepak negara itu berang dengan tindakannya mendermakan sepasang but miliknya untuk mengumpul dana bagi kebajikan.

Bintang Barcelona itu dalam program ‘Ya, saya terkenal’ yang disiarkan MBC Masr, Sabtu lalu membuat pengumuman yang dia akan melelong but miliknya untuk tujuan kebajikan, namun ia mencetus sesuatu di luar jangkaan.

Ahli Parlimen dan penyampai televisyen, Said Hasasin, dalam rancangan bual bicaranya, menanggalkan kasutnya dan berkata akan mendermakannya kepada rakyat yang miskin di Argentina.

“Kasut siapa yang ingin kamu jual Messi? Berapa banyak yang kamu fikir akan dapat? Kamu tidak tahu kuku bayi rakyat Mesir lebih berharga daripada kasut kamu? Simpan saja kasut kamu untuk diri kamu atau jual mereka kepada Israel.

“Messi, 90 juta rakyat Mesir, kami mempunyai maruah, kami mempunyai kasut. Kami tidak makan duit daripada kasut orang.

Messi mengikat tali kasutnya dalam aksi ‘El Clasico’ menentang Real Madrid di Camp Nou dalam gambar fail 22 Mac 2015. Messi terpalit kontroversi di Mesir selepas gara-gara mendermakan sepasang but miliknya untuk mengumpul dana kebajikan. – Reuters
Messi mengikat tali kasutnya dalam aksi ‘El Clasico’ menentang Real Madrid di Camp Nou dalam gambar fail 22 Mac 2015. Messi terpalit kontroversi di Mesir selepas gara-gara mendermakan sepasang but miliknya untuk mengumpul dana kebajikan. – Reuters

“Saya mungkin faham jika dia mendermakan jersinya kepada rakyat Mesir, ia boleh diterima. Tetapi kasut? Ia menghina semua rakyat Mesir dan saya tidak boleh menerimanya.”

Di Asia Barat, membaling kasut dianggap satu penghinaan. Selain Hasasin, jurucakap Persatuan Bola Sepak Mesir Azmy Megahed yang turut dijemput dalam program itu juga menyifatkan tindakan Messi tidak wajar.

“Saya keliru. Jika dia (Messi) berhasrat untuk memalukan kami, saya akan berkata lebih baik dia letak kasut itu di kepalanya dan kepala orang yang menyokongnya.

“Kami tidak memerlukan kasutnya dan kami tidak memerlukan kebajikan daripada orang Yahudi atau Israel. Beri kasut kamu kepada rakyat kami, Argentina penuh dengan kemiskinan.”

Pengacara MBC Masr, Mona El-Sharkawy yang menemuramah Messi berkata, tindakan pemain bintang itu disalah tafsir dan sumbangan itu bukan untuk badan kebajikan di Mesir.

“Ini adalah salah. Ia adalah kebiasaan dalam rancangan kami yang kami akan menerima sagu hati daripada tetamu kami dan meletakkannya dalam lelongan untuk kebajikan,” katanya dipetik agensi berita, Ahram.

“Saya terkejut. Saya tidak berkata yang ia akan diberikan kepada pertubuhan di Mesir atau mana-mana tempat. Saya tidak tahu mengapa mereka berkata ia ditujukan kepada Mesir. Ia tidak pernah diucapkan.”

Messi tidak memberi sebarang reaksi balas terhadap tindakannya itu.