Kata sepakat penting dalam membuat keputusan

Kata sepakat penting dalam membuat keputusan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Profesor pelawat terkemuka di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Tar-Ching Aw, petang kelmarin, telah menyampaikan taklimat mengenai membuat keputusan dan persetujuan pendapat pada majlis yang diadakan di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, UBD.

Dalam taklimatnya itu, beliau bercakap mengenai kepentingan membuat keputusan betul bagi strategi-strategi kesihatan awam dan memberikan beberapa contoh isu-isu yang menarik perhatian pelbagai pendapat dan pandangan daripada individu-individu, organisasi dan ahli-ahli masyarakat.

Ini termasuk perjanjian mengenai apa yang merangkumi penyakit pekerjaan, keutamaan untuk kesihatan awam bagi negara-negara membangun dan pemeriksaan kesihatan.

Seperti kebanyakan situasi yang mempunyai pelbagai pandangan dipegang kukuh yang kadangkala bertentangan, satu pendekatan munasabah untuk mendapatkan kata sepakat adalah diperlukan.

Profesor Tar-Ching Aw ketika menjelaskan mengenai kepentingan membuat keputusan yang baik kepada strategi kesihatan awam.
Profesor Tar-Ching Aw ketika menjelaskan mengenai kepentingan membuat keputusan yang baik kepada strategi kesihatan awam.

Beliau merujuk kepada beberapa pilihan seperti kajian semula yang bersistematik, pendapat-pendapat pakar dan teknik-teknik seperti pendekatan ‘Delphi’ yang diubahsuai, pembatasan yang ada dalam menggunakan cara-cara tersebut serta manfaat dalam menggunakan penemuan penyelidikan berdasarkan bukti bagi persetujuan pendapat.

Pada masa ini, Profesor Tar-Ching Aw berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan berkhidmat sebagai ketua institut kesihatan umum di Universiti UAE dan juga Pengarah Pusat Kolaborasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi pekerja kesihatan di Timur Tengah.

Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa bengkel pakar kesihatan kerajaan United Kingdom dan memegang jawatan sebagai profesor tambahan di Herbert Wertheim College of Medicine di Universiti Antarabangsa Florida, Miami.

ARTIKEL YANG SAMA