Kathleen dilantik Presiden rantau Asia Utara

Kathleen dilantik Presiden rantau Asia Utara

SEPANG, 13 Jun – AirAsia hari ini mengumumkan perlantikan Kathleen Tan sebagai Presiden rantau Asia Utara. Beliau akan bertanggungjawab untuk meningkatkan pasaran AirAsia di China, Hong Kong, Macau, Jepun, Korea dan Taiwan.

Tan kembali ke AirAsia selepas tamat perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsiaExpedia, di mana beliau berjaya memulihkan usahasama yang sebelum ini mengalami kerugian, dalam tempoh hanya lapan bulan dan telah berjaya menghasilkan keuntungan bersih sebanyak S$20 juta pada tahun kedua beliau bersama syarikat tersebut.

Seorang pemimpin perniagaan yang dinamik, berani dan mengisytiharkan diri sebagai ‘disruptor’, Tan menjana pertumbuhan pesat terutamanya dalam pasaran utama seperti Jepun, Korea, Hong Kong dan Taiwan, mewujudkan AirAsiaExpedia sebagai peneraju utama di Asia Utara.

Di bawah bimbingan beliau, AirAsiaExpedia memenangi pelbagai anu-gerah di rantau ini, termasuk Anugerah Laman Web Agensi Pelancongan Dalam Talian Terbaik Asia Pasifik oleh TravelMole serta Kempen Terbaik Untuk Tablet di Hong Kong, anugerah emas untuk Aplikasi Tablet Expedia, gangsa untuk Penggunaan Terbaik Platform Sosial Expedia Singapura dan Aplikasi/Kandungan Terbaik AirAsiaGo dari Mobile Marketing Excellence (Mob-Ex).

Sebelum meninggalkan AirAsia untuk ke AirAsiaExpedia, Tan adalah Ketua Komersil serantau dan Naib Presiden China di AirAsia dari tahun 2004 hingga 2013, dan dikenali secara meluas kerana menjadikan AirAsia sebagai satu jenama global dan kewangan yang berjaya.

Semasa beliau bersama AirAsia, jumlah pesawat meningkat dari 17 kepada 143, hasil pendapatan melonjak 14 kali ganda ke lebih RM5 bilion dan AirAsia mendapat Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia Skytrax yang pertama.