Kaunter JPD turut jadi tumpuan

Kaunter JPD turut jadi tumpuan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Dalam musim keriangan orang ramai yang menerima bonus di hujung tahun ini, rata-rata penduduk di negara Brunei juga tidak lupa untuk membaharui Lesen Kenderaan Persendirian yang sebelum ini digelar road tax terutama sekali pada minggu pertama dan minggu terakhir setiap bulan.

Keadaan pada 28 Disember yang lalu dan juga hari ini sudah menyaksikan orang ramai datang lebih awal dan berbaris panjang bagi mendapatkan nombor giliran mereka di Ibu Pejabat, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jalan Gadong, Beribi.

Jurucakap JPD ketika dihubungi berkata, kehadiran ramai itu adalah disebabkan perkhidmatan kaunter JPD yang tutup pada hari-hari kelepasan awam selama empat hari baru-baru ini dan juga hari kelepasan awam yang akan datang sempena tahun baru yang bermula pada 1 Januari sehingga 3 Januari 2016.

Sehubungan dengan itu, JPD turut menasihatkan kepada orang ramai untuk membuat perancangan yang lebih awal dan terancang terutama sekali apabila berurusan membaharui Lesen Kenderaan yang melibatkan perkhidmatan-perkhidmatan lain misalnya tukar milik kenderaan, menukar bilangan pendaftaran kenderaan dan sebagainya.

Beliau berkata, selain di Ibu Pejabat JPD, Beribi dan cawangan-cawangan di Daerah Tutong, Beliat dan Temburong, orang ramai yang berhasrat untuk membaharui Lesen Kenderaan yang sudah menggunakan format baru (pelekat), masih boleh membaharui di cawangan-cawangan pejabat perkhidmatan berikut iaitu Pusat Memproses Mel (MPC) dan Cawangan Pejabat Pos di Bandar Seri Begawan, Seri Kompleks, Muara, Sengkurong, Tutong, Kuala Belait dan Seria.

Selain itu, mulai daripada 18 Januari 2016, orang ramai yang ingin membuat permohonan membaharui lesen kenderaan persendirian di Ibu Pejabat, JPD, Beribi hendaklah membuat tempahan dahulu bagi slot masa yang akan ditetapkan untuk berurusan bersama kaunter-kaunter membaharui Lesen Kenderaan Persendirian di JPD.

Pada tarikh yang sama, membaharui Lesen Kenderaan Persendirian di kaunter secara ‘walk-in’ akan diberhentikan. Walau bagaimanapun permohonan membaharui Lesen Kenderaan bagi warga emas, orang berkeperluan khas, kenderaan kerajaan dan perkhidmatan mengganti lesen kenderaan kabur/rosak, tidak perlu membuat tempahan.

Tempahan membaharui Lesen bagi Kenderaan Persendirian mulai 18 Januari 2016 bolehlah dibuat dengan cara menelefon ke talian 7292016 atau berurusan terus ke kaunter penyambut tetamu Ibu Pejabat JPD, Beribi.

Waktu tempahan adalah dibukakan bermula pada jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari dan 1:45 hingga 4:15 Petang bagi hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari-hari kelepasan awam).

Semasa membuat tempahan, orang ramai diperlukan untuk memberikan maklumat yang betul seperti Bilangan Pendaftaran Kenderaan, nama pemilik kenderaan dan nombor telefon, nama pihak yang menguruskan dan nombor telefon, tarikh tempahan dan masa tempahan.

JPD turut menggalakkan pemilik kenderaan 7 tahun ke bawah untuk membaharui Lesen Kenderaan menggunakan perkhidmatan online melalui e-Darussalam yang boleh dibuat samada di Ibu Pejabat JPD, Beribi dan cawangan-cawangannya.

Orang ramai juga boleh melakukannya dari rumah atau mana-mana tempat pada bila-bila masa dengan melayari www.gov.bn.

Bagi mereka yang belum mempunyai akaun e-Darussalam hendaklah terlebih dahulu mendaftar dan mengaktifkan akaun e-Darussalam sebelum menggunakan perkhidmatan online.

Perkhidmatan Online Any Where Any Time adalah lebih mudah dan cepat dan boleh menerima pembayaran dengan menggunakan kad (kad debit, kad kredit atau kad tunai) mana-mana bank dan menghadapkan nombor aplikasi ke kaunter terminal online di Ibu Pejabat JPD untuk mengambil lesen kenderaan atau membuat pembayaran secara tunai di terminal online dan menghadapkan nombor aplikasi untuk mengambil lesen kenderaan masing-masing.

Orang ramai juga boleh menggunakan khidmat penghantaran ke rumah dengan membayar $3.00 bagi Perkhidmatan Pos.

ARTIKEL YANG SAMA