Kaunter pembayar JPE Kg Mentiri dirasmi

Kaunter pembayar JPE Kg Mentiri dirasmi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Orang ramai khususnya penduduk di kawasan Kampung Mentiri dan sekitarnya kini mempunyai satu lagi kemudahan berikutan pembukaan cawangan kaunter pembayaran Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) yang terletak di Unit 24, Lot 9434, Bangunan Haji Ibrahim, Kampung Mentiri.

Pembukaan cawangan ke-10 itu dirasmikan, hari ini, oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim.

Pemangku Pengarah Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perdana Menteri, Awang Musa bin Metali, dalam ucapannya menjelaskan dengan adanya perkhidmatan kaunter ini, orang ramai yang tinggal di persekitaran kawasan ini khususnya bolehlah membeli kredit prabayar elektrik, membuat pembayaran bil elektrik atau membuat sebarang pertanyaan.

Selain itu juga, kaunter ini dapat memberikan khidmat nasihat dalam hal berkenaan dengan penggunaan tenaga elektrik mereka.

Menurutnya, kaunter ini dibuka dari jam 8 pagi sehingga 3 petang pada setiap hari bekerja dan dari jam 8 sehingga 11 pagi pada hari Jumaat.

Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud melancarkan cawangan kaunter pembayaran JPE yang baru di Kampung Mentiri.
Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud melancarkan cawangan kaunter pembayaran JPE yang baru di Kampung Mentiri.

“Pembukaan kaunter ini adalah sebagai tambahan kepada kaunter yang sedia ada di Pekan Muara dan merupakan kaunter elektrik yang ke-10 di seluruh negara. Ia juga sebagai tambahan kepada kemudahan yang sedia ada seperti PowerKad, pembelian kredit elektrik menggunakan SMS dan banyak lagi.”

Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai yang belum menggunakan perkhidmatan online supaya mula membiasakan diri menggunakannya kerana ia lebih mudah serta menjimatkan masa dan tenaga.

Menurut beliau lagi, lokasi cawangan baru ini adalah bersesuaian kerana mengambil kira pertambahan penduduk di kawasan Mukim Mentiri dan juga kawasan persekitarannya, apatah lagi dengan pembangunan pesat skim perumahan awam di kawasan berkenaan.

“Ia bertujuan untuk memberikan kesenangan kepada penduduk-penduduk di mukim ini dan juga persekitarannya tanpa perlu lagi pergi ke kaunter di pekan muara atau kaunter di ibu pejabat perkhidmatan elektrik di Tapak Lapangan Terbang Lama Berakas.”

Kaunter pembayaran JPE di Kampung Mentiri kini beroperasi sepenuhnya.
Kaunter pembayaran JPE di Kampung Mentiri kini beroperasi sepenuhnya.

Di samping perkhidmatan kaunter ini, cawangan ini juga menempatkan krew siap sedia khusus untuk menangani sebarang aduan atau gangguan bekalan elektrik di kawasan Mukim Mentiri dan persekitarannya.

Ketua Kampung Sungai Buloh, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim, semasa ditemui juga bersetuju dengan pembukaan kaunter cawangan baru ini kerana ia ditempatkan di kawasan yang sesuai untuk dikunjungi orang ramai.

“Bagi saya, kawasan ini amatlah strategik kerana kawasan ini sangat dikenali ramai dan ia juga merupakan kawasan komersial di mana cawangan baru ini juga dibukakan bersebelahan dengan perkhidmatan pejabat pos.”

Sebelum ini, penduduk kampung membuat pembayaran di cawangan pekan Muara selain membuat pembayaran secara online dan kini cawangan ini akan memudahkan lagi proses pembayaran di kampung itu.

ARTIKEL YANG SAMA