Kawah temasya Sukan SEA ke-28 dibuka

Kawah temasya Sukan SEA ke-28 dibuka

SINGAPURA, 7 Mei (Bernama) – Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Singapura (SINGSOC), Rabu memberi tinjauan menarik mengenai kawah obor temasya Sukan SEA, menandakan detik pengiraan selama sebulan sebelum perasmian temasya edisi ke-28 itu.

Direka oleh pasukan arkitek tersohor Singapura, kawah tersebut terletak di Waterfront Plaza yang mudah diakses oleh orang awam.

Sebagai salah satu struktur paling dikenali dan ikonik dalam mana-mana acara sukan utama, kawah tersebut bakal menyerikan lagi keindahan Lembangan Kallang.

Dibina menggunakan 7.8 tan keluli tanpa karat dan setinggi 19.2 meter, kawah itu adalah sekeping seni arca elegan yang merangkumi intipati tema Sukan SEA dan konsep kreatif pertunjukkan acara perasmian.

Kawah berbentuk DNA manusia itu melambangkan jalinan hubungan antara insan, komuniti dan negara sebagai identiti aspirasi perpaduan.

Nila, maskot rasmi Sukan SEA Ke-28 di Singapura – SINGSOC.
Nila, maskot rasmi Sukan SEA Ke-28 di Singapura – SINGSOC.

Ia dilengkapi dengan jaringan LED dengan mempaparkan maklumat seperti masa dan cuaca semasa temasya sukan itu dari 5 hingga 16 Jun ini.

Dalam semangat mendapatkan penglibatan komuniti dalam temasya itu, SINGSOC merancang beberapa siri inisiatif masyarakat dalam siri larian obor.

Ketua Korporat dan Khidmat Komuniti SINGSOC, Toh Boon Yi berkata penyalaan kawah itu menandakan upcara pembukaan Sukan SEA dengan komuniti menjadi sebahagian daripada temasya dwitahunan itu.

Beberapa siri Festival Sukan Masyarakat anjuran Persatuan Penduduk akan bermula lewat bulan ini di mana setiap orang mempunyai peluang melihat prebiu obor sukan.

Perarakan obor temasya akan bermula 4 Jun di mana obor akan dinyalakan secara rasmi dan diarak sekitar Marina Bay sebelum melakukan perjalanan akhir ke kawah pada hari berikutnya dan akan dinyalakan menerusi larian obor sempena perasmian sukan itu.

Sukan SEA itu diadakan sempena ulang tahun ke-50 Singapura dan akan disertai oleh lebih 7,000 atlet dan pegawai dalam 36 acara sukan.

ARTIKEL YANG SAMA