Kawal, cegah anak terlibat dadah

Kawal, cegah anak terlibat dadah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 20 Sept – Bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa tentang pencegahan dan mengawal anak-anak daripada penyalahgunaan dadah, Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN), pagi tadi, menganjurkan Program Awasi Anak Kitani di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit Beruang, Tutong.

Pemangku Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar selaku Timbalan Pengerusi Program tersebut dalam ucapan alu-aluan berkata, isu-isu gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah dalam kalangan masyarakat negara ini semakin membimbangkan dan pihak kerajaan telah pun berusaha gigih untuk menangani isu berkenaan.

“Pelbagai usaha telah giat dilaksanakan untuk membanteras aktiviti yang boleh melemahkan negara ini, apatah lagi yang melakukannya terdiri daripada anak-anak belia kitani sendiri yang seharusnya menjadi aset kepada negara,” katanya.

Beliau juga mengingatkan para ibu bapa agar tidak lupa dan perlu berhati-hati terhadap pelbagai trend yang akan dilakukan oleh sindiket-sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk menarik perhatian golongan remaja dan belia untuk menjerumuskan mereka kepada gejala yang tidak sihat.

Beliau berharap, menerusi program berkenaan, ia dapat mewujudkan kesedaran ibu bapa atau penjaga tentang pentingnya mengawal dan mencegah anak masing-masing daripada terpengaruh dengan dadah.

Haji Idris bersama tetamu yang lain hadir pada Program Awasi Anak Kitani di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit Beruang, Tutong.
Haji Idris bersama tetamu yang lain hadir pada Program Awasi Anak Kitani di Dewan Kemasyarakatan Kampung Bukit Beruang, Tutong.
Hajah Noorashidah ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada program tersebut.
Hajah Noorashidah ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada program tersebut.

Sementara itu, Pegawai Narkotik BKN, Hajah Norhayani binti Abdullah dalam taklimatnya antara lain menerangkan mengenai maklumat tentang keburukan dadah yang mana gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat negara ini adalah semakin membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius.

Beliau juga mengongsikan maklumat dalam menghadapi anak-anak yang telah terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.

Turut hadir Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam; Penolong Pengarah BKN, Pengiran Hajah Masnah binti Pengiran Haji Damit; Ketua Kampung Bukit Beruang, Awang Ahmad bin Aman dan Pemangku Ketua Kampung Danau, Haji Abdullah bin Mohd Tahir.

ARTIKEL YANG SAMA