Kawal obesiti sejak usia muda

Kawal obesiti sejak usia muda

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Masalah obesiti perlu diambil perhatian sejak dari awal kerana ia mampu meningkatkan risiko mengidap penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis di awal usia muda.

Perkara tersebut ditekankan dalam mesej Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi bersempena Hari Obesiti Sedunia baru-baru ini yang bertemakan ‘Hentikan Obesiti Sejak Usia Muda’ (Ending Childhood Obesity).

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain berkata, “Cuba lihat di sekeliling kita, apa yang awda lihat nampaknya menjadi kebiasaan baru dalam kalangan kanak-kanak di mana satu daripada dua orang kanak-kanak dari usia lima tahun mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

“Dari tahun 2008 hingga 2014, obesiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah di Brunei Darussalam meningkat dari 12 kepada 18 peratus. Ini bermakna obesiti meningkat satu peratus setiap tahun! Jika isu ini tidak ditangani, setiap kanak-kanak di Brunei mungkin berpotensi mengalami masalah obesiti pada masa tempoh terdekat.”

Yang Berhormat Dato menambah bahawa perkara tersebut amat membimbangkan kerana ia boleh sahaja memendekkan jangka hayat kanak-kanak tersebut dan berkemungkinan hidup lebih pendek berbanding ibu bapanya.

Di Negara Brunei Darussalam, kanak-kanak yang didiagnosis menghidap obesiti didapati menghidap beberapa penyakit lain yang kebanyakannya hanya dialami oleh orang dewasa seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan gangguan tidur seperti sukar bernafas ketika tidur.

Selain itu, perkara yang turut membimbangkan ialah terdapat kes kanak-kanak menghidap serangan jantung yang menyebabkan kematian dicatatkan.

Di samping itu, masalah obesiti di usia kanak-kanak bukan saja terbatas pada penyakit fizikal tetapi juga mungkin menjejaskan emosi dan kesejahteraan mental seperti berisiko menjadi mangsa buli, berasa tersisih dari segi sosial, berisiko tinggi mengalami kemurungan dan mungkin mengalami tekanan tahap tinggi dan kegelisahan.

Dalam pada itu, obesiti juga tidak lenyap apabila meningkat usia, sebaliknya berat badan akan terus meningkat di mana obesiti kanak-kanak bertukar menjadi obesiti dewasa, di mana statistik ketika ini menyatakan bahawa 62 peratus orang dewasa di negara ini mempunyai berat badan berlebihan dan obes.

“Kita hendaklah menggalakkan anak-anak kita untuk mengambil berat apa yang mereka makan dan bagaimana menjaga kesihatan badan mereka seperti tidak mengambil banyak gula dan hendaklah lebih aktif,” tambah Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Dato kemudian menjelaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam senaman yang menyeronokkan boleh meningkatkan mood seseorang dan pengamalan pemakanan yang lebih sihat mampu membuatkan mereka membesar menjadi orang dewasa yang sihat.

“Di Negara Brunei Darussalam kurang dari lima peratus kanak-kanak mengambil hidangan yang disarankan iaitu lima bahagian buah-buahan dan sayuran sehari. Juga didapati bahawa 40 peratus kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun mengambil minuman manis atau minuman ringan setiap hari dan pada waktu yang sama banyak makan makanan segera,” ujar Yang Berhormat Dato.

Katanya, kanak-kanak seharusnya mengetahui betapa pentingnya buah-buahan dan sayuran bagi pembesaran dan kesihatan mereka bagi tempoh panjang dan amatlah penting bagi mereka untuk memahami bahawa air adalah lebih baik untuk menghilangkan rasa dahaga daripada minuman bergula.

Walau bagaimanapun, kini telah terdapat tanda-tanda perubahan dalam menjalani kehidupan yang lebih sihat di mana kebanyakan orang awam mula melakukan kegiatan yang menyumbang kepada kesihatan seperti bersukan.

“Syukur Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam kita mulai melihat tanda-tanda awal perubahan. Contohnya di Tasek Lama, Bandar Seri Begawan pada lewat petang, dapat dilihat ia dipenuhi dengan keluarga-keluarga yang membuat aktiviti pendakian dan berjalan kaki bersama-sama,” jelas Yang Berhormat Dato.

Oleh itu ibu bapa memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka.

ARTIKEL YANG SAMA