Kawal penggunaan gajet kanak-kanak

Kawal penggunaan gajet kanak-kanak

KUCHING, 10 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius bahaya penggunaan alat gajet tanpa kawalan dalam kalangan masyarakat terutama kanak-kanak masa kini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kajian dibuat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati bahawa penggunaan gajet memberi kesan kepada perhubungan keluarga.

Malah katanya, situasi ini dianggap remeh pada mulanya menjadi bertambah serius kerana ahli keluarga dalam satu rumah tidak bercakap antara satu sama lain termasuk kanak-kanak.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Riang Ria Aidilfitri 2016 KPWKM Peringkat Negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini semalam.

“Baru-baru ini kita telah dikejut dengan kes pedofilia membabitkan kanak-kanak di negara ini dan semuanya adalah bermula dengan penggunaan gajet tanpa kawalan.

“Bila anak menyendiri dalam bilik bersama alat gajet, ibu bapa jangan fikir mereka berada dalam keadaan selamat sebaliknya mereka terdedah kepada situasi lebih berbahaya.

“Sebab itu, sebagai ibu bapa kita harus mengawal penggunaan alat gajet dalam kalangan anak-anak kita atau membina asas yang kukuh untuk mereka menghindar daripada pengaruh gajet,” katanya.