Kawal sikap marah

Kawal sikap marah

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Islam mengajar umatnya untuk berakhlak mulia, Rasulullah S.A.W. merupakan contoh tauladan terbaik untuk diikuti kerana Baginda memiliki keperibadian tinggi dan mempunyai sifat-sifat mahmudah iaitu terpuji seperti bersifat tawaduk, penyayang, sabar, suka menolong orang dan sebagainya.

Inilah ciri-ciri mukmin sejati yang wajar diamalkan dalam kehidupan ini, jelas Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini seterusnya menambah, tidak dinafikan timbul juga sifat-sifat mazlumah iaitu sifat-sifat keji dalam diri manusia seperti bersifat dengki, membangga diri, bakhil, marah dan sebagainya.

“Itulah sifat semula jadi manusia apa yang penting ialah, kita berusaha bersungguh untuk tidak bersifat mazlumah yang bukan hanya akan merugikan diri sendiri tetapi mendapat dosa akibat daripada perbuatan tersebut,” jelas Khatib.

Khatib seterusnya menjelaskan mengenai sifat mazlumah di mana ia merupakan salah satu sifat yang ada pada diri seorang itu ialah sifat marah.

Dalam Islam, marah secara amnya terbahagi kepada dua iaitu marah yang terpuji dan marah yang dikeji di mana marah yang terpuji itu ialah seorang yang marah untuk mempertahankan sesuatu kebenaran dan perkara yang hak.

“Tidak salah jika berasa marah apabila melihat berlaku kemungkaran di depan mata tetapi cara menzahirkan marah itu, biarlah dengan cara yang betul bukan dengan bertindak ganas dan sebagainya,” tambahnya.

Manakala marah yang keji pula seperti marah untuk mempertahankan perkara batil di mana sifat marah boleh juga terjadi apabila kehendak dan kemahuan seseorang itu tidak tercapai atau tidak dituruti atau berlaku perkara yang tidak diingini menimpa dirinya.

Ini seperti mendapat kerugian, kecelakaan, kesakitan, kegagalan dan sebagainya, perkara seperti ini perlu dihadapi dengan sabar kerana itu adalah sifat orang-orang yang bertakwa.

“Kita hendaklah sentiasa mengamalkan sifat sabar dan cuba sedaya upaya mengawal kemarahan kerana orang yang pemarah hingga gagal mengawal emosinya boleh menyebabkan banyak perkara buruk yang berlaku,” jelasnya.

Ini antaranya mengeluarkan kata-kata keji seperti mencela, menyumpah, melaknat dan sebagainya di mana sesetengah ulama menganggap ucapan keji seperti celaka dan seumpamanya sebagai doa yang boleh mendatangkan akibat buruk.

Khatib seterusnya menegaskan, tidak dinafikan sebilangan orang terlalu menurut perasaan marah hingga sanggup menyebarkan fitnah, melakukan kerosakan pada harta benda dan tidak mustahil timbul perkelahian hingga mencederakan diri atau orang lain,” tegasnya.

Jika kejadian tersebut berlaku dalam keluarga, sudah tentu, tegas Khatib, hubungan kekeluargaan boleh menjadi renggang dan tidak mustahil timbul perasaan benci dan dendam.

Orang yang tidak dapat mengawal kemarahan dan gagal mengatasinya adalah tergolong dalam orang yang melampaui batas dan orang yang lemah.

Perlu juga diketahui, kebanyakan ulama Fiqah berpendapat, orang yang sedang marah dipertanggungjawabkan segala perbuatannya.

Jika seseorang itu melafazkan talak kepada isterinya dalam keadaan marah, jatuhlah talak tersebut dan samalah juga jika orang yang marah itu, merosakkan harta benda kepunyaan orang lain, perlulah ia membayar ganti rugi hasil daripada perbuatannya itu.

Selain itu, membunuh seseorang dengan sengaja, walaupun dalam keadaan marah, dia tetap dikenakan Qisas atau sekiranya ia melepaskan kekufuran, hukum murtadlah baginya hinggalah dia bertaubat. Sekiranya dia bersumpah untuk melakukan sesuatu, sumpahnya itu perlu dilaksanakan iaitu sumpahnya itu dikira sah.

Khatib seterusnya menyeru untuk sentiasa mengawal emosi, mengawal tutur kata, mengawal tingkah laku supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk mengawal marah atau memadamkan api kemarahan seperti yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang antaranya dengan membaca Ta’awudz.

Selain itu, sunat juga orang yang marah itu mengambil wuduk dan dianjurkan untuk membaca doa bagi memohon kepada Allah S.W.T supaya diampunkan dosa, dihilangkan kemarahan dan dilepaskan daripada fitnah atau ujian yang menyesatkan.

Jika seseorang itu marah dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk dan jika dia marah dalam keadaan sedang duduk, hendaklah ia berbaring. Kehidupan ini penuh dengan cabaran, kita berhadapan dengan sikap dan kerenah manusia yang pelbagai ragam sehingga ada antaranya boleh menimbulkan perasan marah.

Perasan marah adalah sifat semula jadi manusia tetapi sebagai manusia yang dikurniakan akal perlulah berusaha mengawal kemarahan tersebut supaya tidak merosakkan diri dan maruah sendiri.

Sentiasalah mengamalkan sifat sabar dan pemaaf, perbanyakanlah zikrullah supaya hati menjadi tenang dan tabah.

“Kita juga perlu ingat, hidup di dunia ini dalam keadaan berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat dan bernegara di mana hubungan tersebut perlu diikut dan diikat dengan kasih sayang supaya dapat hidup dengan bahagian dan aman damai,” tambahnya.