Kawalan kesel...

Kawalan keselamatan di Felda Sahabat 2 dipertingkatkan

LAHAD DATU, 17 Mei – Setakat ini tiada tangkapan yang boleh dikaitkan dengan laporan seorang pekerja ladang mengenai lima lelaki berseluar celoreng dan bersenjata api di ditemui berhampiran sebuah sungai di ladang sawit, Felda Sahabat 2, Cenderawasih dekat sini baru-baru ini, demikian menurut Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Komandernya Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata sehingga ini juga tiada bukti diperoleh mengenai perkara itu.

Susulan laporan polis yang dibuat pekerja ladang berkenaan, kawalan keselamatan di Felda Sahabat 2, Cenderawasih dekat sini dipertingkatkan.

Tinjauan Bernama, mendapati kira-kira 7 kilometer sebelum ke lokasi berkenaan kini dikawal ketat anggota keselamatan dengan orang awam serta pihak yang tidak berkaitan tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, tinjauan di Anjung Teduh Felda Sahabat 2 mendapati keadaan sekeliling tenang dan penduduk menjalankan aktiviti harian seperti biasa kerana yakin dengan kawalan pihak keselamatan.

Di bandar Lahad Datu, kira-kira 110 kilometer dari Felda Sahabat 2 itu, orang ramai menjalankan urusan masing-masing dan premis-premis perniagaan beroperasi seperti biasa dengan pihak keselamatan turut membuat rondaan.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Yusof Apdal mahu penduduk di daerah ini tidak cepat melatah apabila menerima cerita-cerita tidak betul yang sengaja ditokok tambah dan dikaitkan dengan laporan pekerja ladang tersebut.

“Kita telah mengalami satu tempoh tragedi berdarah pada tahun 2013 dan ketika ini kita berada dalam situasi yang diberi jaminan keselamatan sama ada di darat mahupun laut… perlu yakin dan percaya pada pihak keselamatan yang ditugaskan di daerah ini,” katanya.

Yusof berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan kawalan keselamatan di daerah itu dipertingkatkan dalam setiap aspek bagi mengelak insiden pencerobohan sebelum ini oleh anasir luar daripada berulang. – Bernama