Kawalan sempadan M’sia-Thailand diperketatkan

Kawalan sempadan M’sia-Thailand diperketatkan

PASIR MAS, 2 Sept – Pembinaan pagar dan tembok di sempadan Malaysia-Thailand penting bagi memperkasa kawalan sempadan daripada dibolosi militan Daesh dan menyekat aktiviti penyeludupan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pagar dan tembok di kawasan perbatasan akan ditambah dan setakat ini kawasan sempadan sepanjang 111 km di Perak, Perlis dan Kedah telah sedia dibina tembok dan pagar.

“Satu jawatankuasa akan dibentuk bagi mengenal pasti kawasan panas dengan mengambil kira kekangan faktor geografi seperti ketebalan hutan, kedalaman sungai dan faktor lain di kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Mas di sini hari ini.

Datuk Seri Hishammuddin disambut para perwakilan bagi merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Mas, semalam. – Bernama
Datuk Seri Hishammuddin disambut para perwakilan bagi merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Mas, semalam. – Bernama

Hishammuddin berkata cadangan pembinaan pagar dan tembok di sempadan tersebut akan melibatkan kerjasama kerajaan Thailand dan ia akan dibincang dengan lebih terperinci pada Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thai (GBC MALTHAI) Ke-53 di Kuala Lumpur dijangka pada November ini.

“Antara perkara lain yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah rancangan meneruskan kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Diraja Thailand di samping rancangan mengembangkan latihan bersama melibatkan negara Asean dan negara bersekutu, memfokuskan kepada operasi bantuan kemanusiaan dan bencana,” katanya. – Bernama