Kawalan sosial perlu bagi individu, masyarakat

Kawalan sosial perlu bagi individu, masyarakat

Oleh Sim Y. H. & Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Kawalan sosial sangat penting dalam mengawal individu atau masyarakat supaya mematuhi norma sosial, peraturan dan undang-undang sesebuah negara.

“Tanpa kawalan sosial, individu atau masyarakat akan melakukan tingkah laku dengan sesuka hati yang akan menimbulkan ketidakaturan dalam masyarakat dan negara akan menjadi kacau bilau.”

Kesimpulan itu dibuat dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Kawalan Sosial Terhadap Bekas Penagih Dadah, oleh pembentang dari Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Awang Zulhilmi bin Haji Jaidin semasa Seminar Pemulihan dan Seliaan, Melayu Islam Beraja: Asas Integrasi, Sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara ke-61 Tahun yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

Dalam kertas kerja itu juga, Awang Zulhilmi berkata bahawa bekas penagih dadah juga diberikan kawalan sosial kerana jika tidak, maka fenomena penyalahgunaan dadah akan berleluasa.

“Oleh itu, bekas penagih dadah yang menjalani program pengawasan perlu dikawal dan diselia dengan baik agar mereka benar-benar pulih dan tidak mengulangi tingkah laku mereka.

Dayang Siti Norhadinah ketika membentangkan kertas kerjanya di seminar itu, kelmarin.
Dayang Siti Norhadinah ketika membentangkan kertas kerjanya di seminar itu, kelmarin.

“Mereka tidak boleh berdiri sendiri untuk mengawal diri mereka malah mereka memerlukan bantuan sokongan sosial untuk terus hidup tanpa dadah.”

Dalam hubungan itu, dengan adanya kumpulan sokongan sosial seperti ibu bapa atau keluarga, kawan-kawan, masyarakat dan pusat pengawasan, mereka itu dapat merasakan bahawa mereka dihargai, diperlukan serta disayangi.

Dengan adanya sokongan sosial itu, ia akan mencegah daripada berlakunya pengulangan tingkah laku dalam kalangan mereka.

Beliau juga mengulas bahawa jika dilihat dari konteks Negara Brunei Darussalam, Konsep Melayu Islam Beraja sememangnya menunjukkan kawalan sosial kerana nilai-nilai yang ada dalam konsep MIB itu mempunyai nilai-nilai yang positif yang tidak bertentangan dengan norma sosial, peraturan dan undang-undang negara.

“Maka konsep MIB itu dapat membentuk kawalan sosial dalam kalangan penduduk di Negara Brunei Darussalam.”

Manakala itu, dalam pembentangan kertas kerja bertajuk Isu dan Cabaran Pengintegrasian Semula Dalam Kalangan Rakan Seliaan di Brunei Darussalam oleh Penolong Kaunselor Penjara, Pegawai Seliaan Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara, Dayang Irniwati @Nur’Aliyah binti Haji Ahmad menyatakan bahawa komitmen dan usaha untuk perubahan diri yang positif perlu wujud dalam diri individu rakan seliaan itu sendiri untuk memastikan matlamat dan perancangan untuk tidak mengulangi serta melakukan jenayah selepas mereka dibebaskan dari penjara.

Antara yang menghadiri seminar itu.
Antara yang menghadiri seminar itu.

pg06_150507_b

“Cabaran individu rakan seliaan itu sendiri merupakan faktor utama dan yang penting serta perlu ditanai kerana hanya dengan kekuatan iman, mereka dapat menepis segala pengaruh-pengaruh negatif yang boleh merosakkan kehidupan mereka.”

Beliau turut menyatakan bahawa rakan seliaan perlu mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi untuk memantapkan dan memotivasikan diri menjalani kehidupan normal masyarakat majoriti.

“Maka rakan seliaan perlu beradaptasi dengan kelompok masyarakat dan bersedia menerima kritikan dan sentimen negatif terhadap mereka sebagai cabaran positif.”

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Narkotik 1, Timbalan Komandan Rumah Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik, Dayang Siti Norhadinah binti Haji Marsal pula telah membentangkan kertas kerja bertajuk Penggunaan Kaedah Terapi Kekeluargaan (Therapeutic Community – TC) pada Proses Rawatan dan Pemulihan Dadah di Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik.

Menurutnya, kaedah TC memainkan peranan penting dalam keperluan rawatan dan pemulihan dadah, yang mana dengan kaedah ini, proses rawatan dan pemulihan lebih padat untuk bekalan mereka (residen) melalui kehidupan seharian di dalam Pusat Al-Islah.

Katanya, kaedah ini merupakan salah satu program yang diutamakan di samping aktiviti dan program keagamaan, kaunseling, program vokasional, integrasi dalam masyarakat dan kes rawatan yang disediakan.

Walaupun Pusat Al-Islah belum membuat kajian terperinci mengenai hasil keberkesanan kaedah ini, beberapa respons yang diambil daripada beberapa lepasan residen mengakui bahawa dengan TC mereka memahami erti kehidupan dengan lebih mendalam, dapat menerima teguran keluarga dan kawan-kawan di tempat kerja dan mengubah kehidupan mereka agar lebih bertanggungjawab.

Sementara itu, turut membentangkan kertas kerjanya pada seminar itu, hari ini, ialah Pembantu Pengarah (Perhubungan Komuniti), Pejabat CARE Metwork, SCORE, Singapura, Koh Shu Kai dengan tajuk Projek Reben Kuning: Mengumpulkan Sokongan bagi Pengintegrasian Semula Pesalah.

Dalam pembentangannya itu, beliau antara lain telah memperkenalkan mengenai Projek Reben Kuning kendalian Perbadanan Perusahaan Pemulihan Singapura (SCORE) dari aspek sejarah penubuhan, perubahan dan jaringan CARE.

Menurut beliau, cabaran sebenar bekas banduan bermula pada hari mereka meninggalkan pintu penjara dan usaha pemulihan di sana tidak mencukupi kerana mereka perlukan penerimaan dan keterbukaan masyarakat untuk mereka masuk semula ke dalam kelompok masyarakat dan hidup seperti biasa.

‘’Melihat kepada keperluan inilah Projek Riben Kuning diperkenalkan di Singapura pada tahun 2004 sebagai kempen penglibatan masyarakat dalam menerima bekas banduan dan keluarga mereka kepada sisi masyarakat.”

Projek ini, katanya, menyasarkan kepada penyediaan langkah kesedaran, penerimaan dan langkah inspirasi dalam kalangan masyarakat untuk menyokong bekas banduan dan sejak ia diperkenalkan di sana ia berjalan lancar dan ia perlu dikongsi bersama.

ARTIKEL YANG SAMA