Kawasan banjir di S’wak semakin baik

Kawasan banjir di S’wak semakin baik

KUCHING, 10 Feb – Keadaan banjir di kawasan yang dilanda banjir di Sarawak adalah di bawah kawalan dan hujan yang turun sejak tiga hari lepas dijangka semakin reda kelmarin, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata situasi itu semakin baik dan baraj di Sungai Sarawak membantu mengawal pergerakan air sungai.

Adenan memuji semua pihak berkuasa berkaitan kerana kerja keras mereka dan berjaya menguruskan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir, serta berkata wujud kerjasama yang sangat baik.

Beliau bercakap kepada pemberita di Wisma Bapa Malaysia di sini selepas menghadiri taklimat yang disampaikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kuching.

Banjir melanda beberapa kawasan di daerah Kuching, Bau dan Serian sejak beberapa hari lepas berikutan hujan dan air pasang, memaksa mangsa banjir berpindah ke pusat penempatan sementara.

Penduduk kampung kembali ke kediaman masing-masing apabila banjir mulai surut ekoran fenomena air pasang besar dan hujan lebat di perkampungan sepanjang Sungai Sarawak kelmarin. – Bernama
Penduduk kampung kembali ke kediaman masing-masing apabila banjir mulai surut ekoran fenomena air pasang besar dan hujan lebat di perkampungan sepanjang Sungai Sarawak kelmarin. – Bernama

Sejumlah 5,533 mangsa banjir daripada 1,484 keluarga masih berada di pusat pemindahan di Sarawak setakat 4 petang kelmarin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata jumlah berkenaan kurang 155 orang daripada 40 keluarga berbanding jumlah pada sebelah tengah hari.

“Mangsa ditempatkan di 27 pusat pemindahan – 20 di Daerah Kuching, Bau (5) dan Serian (2),” katanya ketika dihubungi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihak jabatan akan menukar syif bekerja anggotanya dari 12 jam kepada 24 jam sekiranya keadaan banjir semakin meruncing di negeri itu.

Penolong Pengarah Operasi Farhan Sufyan Borhan berkata, perubahan syif itu jika dilaksanakan akan melibatkan 503 anggota pada satu-satu masa.

“Kita mempunyai seramai 990 anggota operasi dan pada masa ini 340 orang bertugas untuk satu syif,” katanya ketika dihubungi Bernama kelmarin. Katanya, hanya 20 peratus daripada keseluruhan anggota dibenarkan bercuti pada masa ini.

JBPM juga katanya akan menggerakkan logistik yang terdiri daripada dua helikopter, 115 kenderaan dan 45 bot bagi operasi membantu mangsa banjir. Helikopter yang berpangkalan di Miri serta logistik lain di balai-balai bomba di Sarawak kini diletak dalam keadaan bersiap sedia untuk digunakan. Menurutnya, daripada 115 kenderaan itu, 84 merupakan kenderaan pacuan empat roda, 15 lori, 13 van dan tiga bas. Manakala bot pula terdiri daripada 39 bot aluminium, masing-masing tiga buah bot jenis fiber dan Kevlar.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Zulkifli Jantan pula berkata, tempoh banjir yang singkat disusuli penjagaan kebersihan yang baik di pusat-pusat pemindahan banjir di Sarawak menjadikan jangkitan penyakit bawaan air akibat bencana itu terhindar.

Katanya, penghargaan harus diberi kepada agensi-agensi terbabit dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah yang berjaya mewujudkan persekitaran baik dan sihat kepada mangsa.

Bercakap pada sidang media mengenai Persidangan Antarabangsa Penjagaan Kesihatan Ibu dan Anak 2016 (ICMCH) di ibu pejabat Jabatan Kesihatan Sarawak kelmarin beliau berkata, petugas Jabatan Kesihatan turut menganggotai jawatankuasa pengurusan banjir itu, yang bukan sahaja berfungsi memantau kesihatan penghuni pusat-pusat pemindahan, malah turut berusaha memastikan pusat-pusat itu benar-benar bersih dan selamat untuk dihuni. – Bernama