Kawasan berisiko banjir dipindah awal

Kawasan berisiko banjir dipindah awal

KUCHING, 28 Dis – Penduduk di kawasan berisiko mengalami bencana banjir akan segera dipindahkan ke pusat pemindahan sebaik paras air di kawasan berkenaan melepasi paras normal.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Sarawak, Kol (PA) Mohtar Samat berkata langkah berkenaan dilihat praktikal berdasarkan pengalaman agensi bantuan bencana negeri ketika menghadapi bencana banjir sebelum ini.

Katanya langkah tersebut juga dipersetujui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melibatkan agensi berkaitan antaranya JPAM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga Residen seluruh negeri agar sebarang bentuk bantuan semasa bencana dapat dipermudahkan.

“JPAM dilantik sebagai Sekretariat JPBN Sarawak dan kami bekerjasama rapat mendapatkan laporan tinjauan cuaca dengan Jabatan Meteorologi Malaysia. Setiap hari kami juga pantau keadaan sungai serta empangan di negeri ini berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Andai kata berlaku kenaikan air sungai dan pada waktu sama, berlaku fenomena air pasang besar, pendekatan kali ini kami tidak lagi menunggu tetapi semua agensi terlibat dalam operasi menyelamat termasuk penduduk kampung akan digerakkan untuk proses pemindahan,” katanya kepada Bernama.

Mohtar berkata JPBN Sarawak tidak mahu lagi apabila sudah berlaku bencana banjir pergerakan penduduk ke pusat pemindahan baru hendak dilakukan.
Beliau berkata selain pergerakan awal penduduk di kawasan berisiko banjir, JPBN Sarawak juga menetapkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) supaya tiada sebarang kehilangan nyawa berlaku ketika bencana banjir.

“Sebarang bentuk amaran serta pergerakan akan dihebahkan melalui media massa, radio termasuk Bernama supaya penduduk tidak perlu menunggu saat genting untuk perpindahan.

“Kami juga dalam proses wujudkan pusat sehenti untuk selaraskan semua maklumat mengenai bencana banjir,” katanya. – Bernama