Kawasan konservasi perlu pelan strategik

Kawasan konservasi perlu pelan strategik

LAHAD DATU, 12 April (Bernama) – Pelan strategik adalah diperlukan agar semua elemen yang boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap Kawasan Konservasi Pesisir Pantai Silam (SCCA) dapat dihindarkan.

Anggota Parlimen Lahad Datu Datuk Nasrun Datu Mansur berkata sebagai kawasan konservasi baharu, SCCA yang dikelilingi penempatan dan aktiviti perladangan komersial sudah tentu terdedah kepada elemen yang menjejaskan objektif pewujudan kawasan itu.

“Kerjasama semua pihak dalam merangka pelan strategik itu diperlukan, selain kesedaran masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan itu bagi merealisasikan objektif SCCA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian serentak Bangunan Resepsi dan Informasi SCCA dan Forum Bersama Pihak Berkepentingan SCCA, dekat sini hari ini.

Datuk Nasrun Datu Mansur (empat, kanan) bersama Datuk Sapawi Ahmad (tiga, kanan) melihat replika topografi Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam selepas perasmian Bangunan Resepsi dan Informasi Pesisiran Pantai Silam. – Bernama
Datuk Nasrun Datu Mansur (empat, kanan) bersama Datuk Sapawi Ahmad (tiga, kanan) melihat replika topografi Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Silam selepas perasmian Bangunan Resepsi dan Informasi Pesisiran Pantai Silam. – Bernama

Turut hadir, Pengarah Yayasan Sabah (YS) Datuk Sapawi Ahmad dan Pemangku Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi & Pengurusan Alam Sekitar YS, Dr Agnes Agama. Nasrun berkata menerusi ekspedisi saintifik SCCA tahun lepas, kawasan itu berpotensi tinggi sebagai kawasan penyelidikan marin, hutan bakau, pendidikan alam sekitar dan hab ekonomi kerana lokasinya yang strategik.

Ini kerana, katanya Lahad Datu kini mempunyai tiga destinasi pelancongan bertaraf dunia di Lembah Danum dan Kawasan Hidupan Liar Tabin serta terbaru, SCCA mempunyai kepelbagaian alam semula jadi yang unik.

Beliau yakin SCCA berupaya menawarkan pakej eko pelancongan yang boleh menarik pelbagai golongan masyarakat terutama mereka yang menghargai alam semula jadi dan seterusnya mempunyai potensi menjadi daya tarikan di daerah ini.

Dari segi isu keselamatan, katanya kerajaan menerusi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), polis dan Pasukan Gerakan Am akan bekerjasama dengan kumpulan YS dalam menangani isu tersebut di SCCA.