Kawasan latihan SAF bertambah 3 kali ganda

Kawasan latihan SAF bertambah 3 kali ganda

SINGAPURA, 10 Mei – Rancangan $2.25 bilion Singapura untuk mengembangkan kemudahan tentera di timur laut Australia akan meluaskan lebih tiga kali ganda kawasan latihan yang kini digunakan tentera Republik ini di negara itu.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen mendedahkan bahawa Singapura akan membina kemudahan latihan menembak baru di mana senjata besar, seperti meriam jarak jauh dan helikopter penyerang Apache, boleh menembak peluru hidup.

Ia juga merancang membina bandar olok-olok dengan bangunan berbilang tingkat untuk askar mengasah kemahiran peperangan bandar mereka.

Secara keseluruhannya, pengembangan ruang latihan di Shoalwater Bay dan Townsville di Queensland akan membolehkan sehingga 14,000 askar dan peralatan mereka berlatih di kawasan yang 10 kali lebih besar daripada saiz Singapura, lapor akhbar Berita Harian edisi online hari ini.

Pada masa ini, kira-kira 4,000 tentera menuju ke Australia setiap tahun untuk menjalankan latihan lapangan di Shoalwater Bay, yang kira-kira tiga kali saiz Singapura.

Pasukan SAF dan Australia menjalankan latihan bersamaa di Shoalwater Bay, Queensland. – Gambar fail MINDEF
Pasukan SAF dan Australia menjalankan latihan bersamaa di Shoalwater Bay, Queensland. – Gambar fail MINDEF

Rancangan tersebut diumum Jumaat lalu apabila dua negara itu memperkukuh lagi hubungan mereka. Dibina di atas perjanjian Perkongsian Strategik Menyeluruh yang ditandatangani pada 2015, perjanjian pertahanan baru itu akan membolehkan tentera Singapura berlatih di Australia selama 25 tahun.

Dr Ng berkata pengembangan itu akan memberi mutu latihan SAF “lompatan kuantum”.

“Kita bercakap tentang kira-kira tiga hingga empat kali jumlah pasukan… Shoalwater Bay ditambah dengan kemudahan latihan baru yang kita ada di Australia pada dasarnya akan membolehkan dua briged atau lebih… dari segi askar dan dari segi kenderaan pelengkap penuh mereka, yang dapat berlatih.”

Beliau berkata tidak banyak tempat di mana ini boleh dilakukan.

Dr Ng berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pasukan khas tentera dari beberapa negara, termasuk Singapura, Australia dan Korea Selatan, menyerang dan merampas “tempat persembunyian pengganas” dalam sebuah kampung olok-olok di Lim Chu Kang pada Isnin.

Ia sebahagian daripada latihan 11 hari melibatkan 18 negara kumpulan Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM)-Plus.

Dr Ng berkata pelaburan di Australia penting untuk SAF menjalankan latihan realistik.

“Perkara lebih penting ialah ini memberi Singapura peluang sekali dalam seumur hidup untuk menjalankan latihan terjamin selama 25 tahun.”

Tentera Singapura berlatih di Australia sejak 1990. Selain Australia, mereka juga berlatih di negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Brunei dan New Zealand.