Kawasan masuk ke Tawau diperketatkan

Kawasan masuk ke Tawau diperketatkan

TAWAU, 23 Sept – Agensi penguatkuasaan di daerah ini terus memperketatkan kawalan di sempadan perairan Tawau-Indonesia, dalam usaha mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke daerah ini.

Kawalan itu diperhebatkan lagi selepas tersebar luas video yang mendakwa warga Indonesia dikatakan mudah memasuki daerah ini dan mendarat di Batu-Batu dengan hanya membayar RM50 hingga RM100 kepada anggota penguat kuasa.

Tinjauan Bernama di kawasan pendaratan Batu-Batu, mendapati semua bot kecil dan penumpang dari Pulau Sebatik yang mendarat di kawasan itu diperiksa anggota penguat kuasa termasuk daripada Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Ketua Jabatan Imigresen Daerah Tawau, Noraini Rasi berkata pihaknya dengan bantuan Esscom telah menahan tujuh PATI warga Indonesia dan satu warga Filipina di kawasan pendaratan di Batu-Batu dan Tanjung Batu dari Rabu sehingga semalam.

Polis akan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap masyarakat pulau yang menjadikan kawasan batu-batu sebagai jeti dengan menempatkan anggota sekerap mungkin di kawasan berkenaan. – Bernama
Polis akan melipatgandakan penguatkuasaan terhadap masyarakat pulau yang menjadikan kawasan batu-batu sebagai jeti dengan menempatkan anggota sekerap mungkin di kawasan berkenaan. – Bernama

“Pemeriksaan ketat ini diperhebatkan sejak Rabu lepas dan berjaya menahan enam lelaki dan dua wanita PATI berumur lingkungan 14 hingga 49 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Setakat Ogos lepas, seramai 1,148 PATI warga Indonesia, Filipina (582), India (1), Pakistan (2), Thailand (5) dan lain-lain (1) telah ditahan kerana kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk masuk dan berada di negara ini. Selain itu, seramai 15 majikan ditahan mengikut Seksyen 55 (B) kerana mengambil pekerja asing tanpa dokumen sah. – Bernama