Kawasan pedalaman Fiji masih terputus

Kawasan pedalaman Fiji masih terputus

SYDNEY, 23 Feb (Reuters) – Pihak berkuasa Fiji masih berusaha untuk sampai ke kawasan terpencil gugusan kepulauan negara itu hari ini untuk menilai kerosakan, dua hari selepas satu taufan kuat melanda negara pulau Pasifik itu, membunuh sekurang-kurangnya 29 orang.

Pihak berkuasa telah mengingatkan kerosakan “teruk” ke Pulau Koro, pulau ketujuh terbesar Fiji.

“Saya bimbang dengan kesan teruk ke atas Fiji akibat Taufan Tropika Winston,” kata Stephen O’Brien, Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam satu kenyataan selepas bercakap dengan pihak berkuasa Fiji.

“Seluruh kampung telah pun dimusnahkan, rumah dan tanaman telah rosak, talian elektrik telah terputus dan lebih 8,100 orang sedang berlindung di lebih 70 pusat pemindahan.”

Kerajaan Fiji berkata ia akan menghantar bot ke tempat terpencil di gugusan kepulauan yang terdiri daripada 300 pulau hari ini untuk memberikan bantuan, di tengah kebimbangan krisis kesihatan ekoran kerosakan tanaman dan pencemaran bekalan air.

Bekalan-bekalan bantuan termasuk, generator, makanan dan bekas air tiba di salah sebuah kawasan pedalaman di Fiji. – Reuters
Bekalan-bekalan bantuan termasuk, generator, makanan dan bekas air tiba di salah sebuah kawasan pedalaman di Fiji. – Reuters

Satu kumpulan respon kecemasan kerajaan Australia tiba di Fiji semalaman di lapangan terbang utama Nadi. Kumpulan pemindahan perubatan udara sedang dihantar ke pulau luar hari ini untuk memberikan sokongan dan bekalan, termasuk air dan kit kebersihan, ubat dan kemudahan tempat perlindungan.

Australia dan New Zealand sedang menghantar penerbangan pengawasan udara hari ini. Bekalan makanan dan air merupakan kebimbangan walaupun di kawasan seperti ibu negara Suva yang tidak mengalami kerosakan teruk seperti di rantau lebih terpencil. Majlis Pengguna Fiji telah menggesa peniaga supaya jangan menjual makanan dan produk yang cepat rosak yang telah menjadi basi disebabkan kesan taufan.

Winston telah lemah menjadi ribut tropika tatkala ia menuju ke arah Vanuatu, yang dimusnahkan hampir setahun lalu oleh Taufan Pam Kategori 5.