Kawasan rehat dan rawat dicadangkan di TPS bantu usahawan kecil

Kawasan rehat dan rawat dicadangkan di TPS bantu usahawan kecil

BINTULU, 4 Mei (UB) – Satu cadangan dibuat bagi mewujudkan kawasan rehat dan rawat di Taman Perindustrian Samalaju (TPS) bagi membantu usahawan kecil dan sederhana bumiputera mengembangkan perusahaan dan perniagaan mereka.

Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni berkata bagi tujuan itu Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) disaran tampil dengan kertas kerja bagi dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pembangunan Bahagian untuk membolehkan langkah strategik diwujudkan bagi membantu golongan sasar meningkatkan tahap pendapatan masing-masing.

“Dengan adanya kawasan rehat dan rawat itu nanti secara tidak langsung membantu peniaga Bumiputera menjalankan perniagaan secara lebih teratur dan selesa di samping memudahkan pihak berkuasa menjaga keselamatan setiap peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan yang dikhaskan,” katanya pada penutupan Pesta Makanan dan Barang-Barang Tempatan 2015 anjuran Persatuan Usahawan Kecil Bumiputera (PUKB) Bintulu dan SEDC di sini semalam.

Sambil menyifatkan kawasan rehat dan rawat itu sebagai tepat pada masanya, Tuah berkata pembukaannya merupakan impak positif hasil pelaksanaan projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sejajar dengan perkembangan pesat industri hiliran yang lainnya di Sarawak.

Katanya pengwujudan kawasan khas itu dapat memajukan sektor ekonomi seperti pelancongan, kraf tangan dan budaya masyarakat secara keseluruhannya.

ARTIKEL YANG SAMA