Kawasan rendah terjejas

Kawasan rendah terjejas

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Beberapa buah kawasan rendah di negara ini mula terjejas akibat banjir kilat apabila hujan lebat dari musim tengkujuh melanda negara ini.

Hujan yang biasanya turun lebat sekitar jam 8 malam sehingga berterusan beberapa jam kemudian meresahkan penduduk di beberapa buah kawasan rendah dan terpaksa berjaga-jaga apabila air mula memenuhi longkang.

Sebahagian kawasan di Kampung Jerudong turut terjejas malam kelmarin apabila banjir kilat menenggelami jalan-jalan dan rumah penduduk sekitarnya.

Beberapa buah kereta terperangkap dalam banjir, namun sebahagian pemandu terpaksa meredah banjir serta mencari jalan alternatif untuk mengelak kerosakan pada kereta mereka.

Penghuni di beberapa buah rumah terpaksa memindahkan barang-barang ke tempat tinggi untuk mengelak kerosakan, sebahagian lagi tidak dapat berbuat apa-apa apabila air sudah mula naik tinggi ke dalam rumah.

Salah seorang mangsa banjir di Kampung Jerudong, Haji Abdullah bin Haji Silim, 69, mengatakan kejadian sama berlaku hampir setiap tahun kerana sistem longkang yang belum lagi diperbaiki.

“Apabila hujan lebat, kami sudah bersiap sedia memindahkan kereta keluar jalan raya dan barang-barang berharga ke kawasan lebih tinggi,” katanya.

Mereka juga terpaksa berjaga semalaman sehingga hujan teduh bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Menurutnya lagi, permohonan memperbaiki longkang sudah pun dibuat beberapa tahun lalu namun belum ada maklum balas.

“Setiap tahun, setiap kali musim hujan, setiap kali itu juga kami sekeluarga risau. Setiap kali itu juga kami berjaga malam dan menyapu air keluar dari rumah,” jelasnya yang kadang-kadang terpaksa berhujan menggali longkang agar tidak tersumbat.

ARTIKEL YANG SAMA