Kaya khazanah gamit pengunjung

Kaya khazanah gamit pengunjung

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Daerah Tutong berpotensi sebagai ‘daerah destinasi’ kerana ia mempunyai lebih 30 tempat menarik dan berupaya menghasilkan lebih 50 produk Satu Kampung Satu Produk.

Untuk merealisasikan hasrat tersebut, Jabatan Daerah Tutong selaku Agensi Pemudah Cara telah mengadakan beberapa sesi perundingan dengan berbagai-bagai pihak yang meliputi ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, para pengusaha kecil dan sederhana termasuk masyarakat umum serta menyediakan perkhidmatan lain seperti tempat-tempat lawatan, persembahan kesenian dan kebudayaan, perkhidmatan penyediaan makanan serta tempat penginapan para pelancong dan pelawat melalui inap desa (Homestay).

Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali berkata sedemikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran ‘Destinasi Tutong’ yang berlangsung di kediaman rasmi beliau.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan logo ‘Destinasi Tutong’ ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Awang Wardi dalam ucapannya berkata, Program ‘Destinasi Tutong’ juga melibatkan pengusaha-pengusaha di daerah ini dan akan melibatkan persefahaman dengan pengusaha dan penyedia perkhidmatan di luar daerah.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pegawai Daerah Tutong menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, dengan penyelia perkhidmatan Daerah Tutong.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pegawai Daerah Tutong menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di antara Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong, dengan penyelia perkhidmatan Daerah Tutong.

Program ini antara lain bertujuan untuk mendokong usaha-usaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) dalam menjana perkembangan sosioekonomi negara melalui perusahaan kecil dan sederhana untuk menjadikan masyarakat di daerah ini lebih berdikari, berdaya maju dan berdaya saing.

Selain itu, ia juga akan dapat menggalakkan pertumbuhan aktiviti-aktiviti pelaburan asing di negara ini.

Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di antara Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong dengan Penyelia Perkhidmatan Daerah Tutong yang terdiri daripada penghulu-penghulu mukim Daerah Tutong, pembekal perkhidmatan katering dan penyediaan makanan, tarian dan kebudayaan, pengusaha kraf tangan dan inap desa (Homestay) serta perkhidmatan lain seperti sukarelawan dan pengangkutan/kenderaan.

Majlis turut menyaksikan demo ‘Destinasi Tutong’ dengan mengalu-alukan kehadiran pelancong ke Daerah Tutong.

Usaha tersebut merupakan langkah strategik Jabatan Daerah Tutong bagi mendokong Wawasan Brunei 2035 iaitu menjadikan kehidupan rakyat yang berkualiti dan ekonomi dinamik serta berdaya tahan.

Program ini dinilai berdasarkan Daerah Tutong yang mempunyai lima etnik masyarakat yang unik iaitu Puak Tutong, Dusun, Kedayan, Iban, dan masyarakat Tiong Hua yang sememangnya mempunyai berbagai-bagai warisan budaya untuk dijadikan projek aktiviti kemasyarakatan dan perekonomian masyarakat mukim dan kampung berkonsepkan Pelancongan Berasaskan Komuniti selain mempunyai khazanah semula jadi yang menarik dan mempunyai potensi yang luas untuk diterokai.

Melalui program ini, Pegawai Daerah Tutong menyatakan harapan agar ia akan berjalan dengan efektif dan berkesan serta akan dapat menjana hasil jualan produk perkhidmatan, lawatan, pelancongan dan perekonomian yang dianggarkan sekurang-kurangnya $2 juta setahun dan boleh menyumbang peluang-peluang pekerjaan yang majoritinya disasarkan kepada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, serta masyarakat dan penduduk di daerah ini.

ARTIKEL YANG SAMA