Kazakhstan berhasrat jadi anggota tidak tetap UNSC

Kazakhstan berhasrat jadi anggota tidak tetap UNSC

ASTANA (KAZAKHSTAN), 30 Mei – Kazakhstan berhasrat menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) bagi tahun 2017/2018 demi memainkan peranan lebih penting kepada masyarakat dunia.

Walaupun masih muda, namun Kazakhstan merasakan ia telah menunjukkan komitmen besar dalam melaksanakan prinsip Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sejak dua dekad lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Kazakhstan di Malaysia kepada wartawan Bernama yang sedang berkunjung di sini.

Kunjungan media ini adalah atas jemputan kerajaan Kazakhstan sempena persidangan antarabangsa ‘Agama Menentang Keganasan’ yang bakal diadakan di sini pada Selasa. – Bernama

Astana akan juga menjadi tuan rumah Mesyuarat Sekretariat Kongres Pemimpin Dunia dan Agama Tradisi pada Rabu.

Kenyataan kedutaan itu berkata sebagai negara kesembilan terbesar dunia, keputusan Kazakhstan untuk membida kerusi tidak tetap UNSC adalah berdasarkan empat keutamaan iaitu bagi keselamatan makanan, keselamatan air, keselamatan tenaga dan keselamatan nuklear.

Kazakhstan, sebuah negara Asia Tengah menjadi anggota PBB pada 2 Mac 1992, hampir tiga bulan selepas memperoleh kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet.

Ia telah menyokong pelbagai inisiatif keamanan termasuk usaha menamatkan konflik di Ukraine dan memulihkan keamanan di Afghanistan, kata kenyataan kedutaan.

Menerusi inisiatif seperti Kongres Pemimpin Dunia dan Agama Tradisi serta keanggotaannya dalam kumpulan seperti Pertubuhan Kerjasama Islam dan Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah, Kazakhstan jelas cuba mempromosi sikap toleransi dan persefahaman di peringkat antarabangsa. Pemilihan lima anggota tidak tetap UNSC akan diadakan bulan depan sempena sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB.

Negara yang bakal mengisi kerusi tersebut adalah masing-masing satu dari Afrika, Amerika Latin dan Caribbean, wilayah Asia Pasifik dan dua daripada Eropah Barat.

Thailand turut mahu membida bagi kerusi Asia Pasifik yang kini disandang Malaysia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA