Kazakhstan bersedia jadi 30 negara termaju

Kazakhstan bersedia jadi 30 negara termaju

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kazakhstan kini berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai antara 30 negara maju di dunia menjelang 2050, dipacu oleh 100 Usaha Kukuh yang ditetapkan.

Program tersebut, diperkenalkan sebaik sahaja Nursultan Nazarbayev dipilih semula sebagai Presiden pada tahun lepas, merupakan pakej pembaharuan menyeluruh dengan matlamat memacu penambahbaikan teras institusi negara berkenaan.

Ia, yang juga dikenali sebagai ‘Pelan Negara’, merangkumi lima pembaharuan penting iaitu mewujudkan perkhidmatan awam yang profesional dan moden, memastikan peraturan perundangan, pertumbuhan perindustrian dan ekonomi, sebuah negara yang bersatu untuk masa depan, serta ketelusan dan akauntabiliti bagi negara.

Dalam usaha untuk membangunkan perkhidmatan awamnya, ekonomi terbesar Asia Tengah dan negara kesembilan terbesar di dunia itu merancang untuk melaksanakan satu langkah unutk pengambilan tenaga kerja berdasarkan merit.

Ini bermakna, pengambilan tenaga kerja dan kenaikan pangkat perlu berasaskan kecekapan.

Selain itu, langkah membuka ekonomi Kazakhstan bagi merangsang pelaburan langsung asing dan aktiviti perdagangan juga perlu dilakukan.

Sehubungan itu, negara yang kaya dengan sumber minyak berkenaan telah menggariskan hasratnya untuk menarik pelabur asing dalam sektor pelancongan, infrastruktur, tenaga, pengeluaran tenusu serta pengeluaran dan pemprosesan daging. – Bernama