Kazakhstan syurga pelaburan

Kazakhstan syurga pelaburan

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Sekarang merupakan masa yang sesuai untuk melabur di Kazakhstan, memanfaatkan kelebihan yang ada ketika negara itu dalam proses perubahan, yang melibatkan usaha untuk mempelbagaikan pendapatan dan membuka ekonominya kepada dunia.

Sektor yang diberikan keutamaan oleh negara bekas Soviet itu termasuk minyak dan gas, perlombongan, farmaseutikal, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi, pembinaan dan kompleks agro-industri.

Dr. Simon Baptist, Ketua Ekonomi Unit Risikan Global The Economist, berkata sekiranya garisan dibuat antara rantau ekonomi utama di dunia – Atlantik Utara dan Asia Timur – Kazakhstan berada pada kedudukan di tengah-tengahnya.

“Kedudukan geografi negara itu memberikannya beberapa kelebihan sebagai pusat tarikan ekonomi untuk terus bergerak ke Asia.

“Ini sebahagiannya disebabkan oleh perdagangan dan pelaburan masuk dan keluar dari China, selain jaraknya yang dekat dengan pasaran besar dan pasaran pesat berkembang lain seperti India dan Iran,” katanya.

Nursultan Nazarbayev

Masih banyak potensi yang belum diteroka secara besar-besaran di rantau ini dengan mengambil kira jumlah dagangan serantau yang rendah di Asia Tengah, yang kini kurang daripada enam peratus, dan merupakan pertumbuhan paling perlahan di Asia, yang boleh diakses oleh pelabur asing melalui Kazakhstan.

Selain itu, Kazakhstan sendiri menawarkan peluang yang baik memandangkan kerajaannya memperkenalkan pelbagai langkah untuk membangunkan ekosistem perniagaan bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih kukuh.

Pada Jun 2014, Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev (gambar) menantandatangani perjanjian undang-undang cukai konsesi untuk menggalakkan FDI, termasuk pengecualian cukai syarikat selama 10 tahun serta pengecualian cukai harta selama lapan tahun. Langkah lain termasuk bayaran balik ke atas pelaburan modal sehingga 30 peratus sebaik kemudahan pengeluaran beroperasi.

Pada 2016, Kazakhstan menubuhkan entiti perniagaan yang lebih mudah dengan memansuhkan bayaran pendaftaran ke atas syarikat kecil dan sederhana, memendekkan masa pendaftaran dan memansuhkan keperluan undang-undang untuk menggunakan cop meterai syarikat.

Perubahan ini diperkenalkan bagi membolehkan Kazakhstan menjadi antara 30 negara maju di dunia pada 2050.

Pelabur wajar melihat kedudukan ini sebagai peluang berpotensi untuk mereka menjalin usaha sama dalam perdagangan, pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi. – Bernama