KB Sentral tempa sejarah 25 Nov ini

KB Sentral tempa sejarah 25 Nov ini

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Nov – Sejak Pusat Beli-belah Sentral (KB Sentral) bertapak di Daerah Belait, penduduk di sini sudah mempunyai tempat kunjungan yang menceriakan terutama pada musim cuti sekolah atau hujung minggu.

Selain tempat membeli-belah, KB Sentral juga menyediakan tempat-tempat menjamu selera melalui berbagai-bagai restoran dan kafe serta jualan minuman yang menjadi kegemaran ramai pada masa ini, tanpa mengira golongan usia.

Kini, pusat membeli-belah pertama di Kuala Belait itu akan menempa sejarahnya apabila ia akan dibuka secara rasmi dalam majlis perasmian besar-besaran pada 25 November ini.

Majlis bersejarah itu dijangka akan dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang akan turut menyempurnakan perasmian.

Majlis itu nanti akan difokuskan kepada perasmian Pusat Membeli-belah KB Sentral dan Garden Sentral Hotel & Serviced Apartments.

KB Sentral mempunyai sebanyak 29 buah kedai dan restoran yang sudah beroperasi pada masa ini termasuk Jaya Hypermart Sdn Bhd, Hamberly Hill Time Zone Edutainment, Times Cineplex, Progresif Cellular, Delifrance, Coffeebean & Tea Leaf, Pastamania, Ochado, Beesket Brunei, Auntie Anne’s, La Kaffa, Lof Cakes and Bakery, I Love Yoo!, Warong Penyet, Sushi Tei, Restoran All Seasons Sdn Bhd, SugarBun, Killiney, Al-Bukhari Sdn Bhd, Janice New Closet Enterprise, Karim Kabul House Sdn Bhd, Baloon Buz ria, Chop Fock Lee, CXA Enterprise, Yappe Enterprise, Focus Point, Mace Enterprise, Av Audio & Video Sdn Bhd serta B. Foot.

Selain daripada itu, sejak ia dibukakan pelbagai aktiviti menyeronokkan serta berunsurkan pendidikan turut dianjurkan sesuai dengan slogan mereka, ‘Tempat Hebat Untuk Dikunjungi’.

Ia bukan saja menarik untuk kunjungan bersama keluarga tetapi juga pelbagai golongan usia dan antara acara indah yang tidak mungkin dilupakan dalam kalangan pengunjungnya termasuklah cabutan bertuah, Real-Estate Fair, Hujung Minggu bersama Emoji, Pertandingan Masakan Cef Muda, Minggu Kreatif Kanak-kanak, Perlawanan Akhir Tamiya dan sebagainya yang telah dianjurkan oleh pusat membeli-belah berkenaan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pusat membeli-belah ini boleh menghubungi talian 3339889 atau hantarkan e-mel ke alamat kbsentralmarketing@gmail.com.

ARTIKEL YANG SAMA