KB, Seria alami gangguan bekalan air

KB, Seria alami gangguan bekalan air

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa seluruh kawasan Kuala Belait dan sebahagian kawasan Seria akan mengalami gangguan bekalan air/tekanan air rendah berikutan penutupan bekalan air bermula 9:00 malam ini.

Menurut kenyataan JKR, penutupan adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan berikutan kerosakan paip air mentah Badas berukuran 18 dan 28 inci, dan bekalan air akan dibuka semula selepas kerja-kerja selesai dilaksanakan.

Oleh yang demikian, orang awam diharap akan dapat mengambil langkah menjimatkan penggunaan air sehingga bekalan air pulih seperti sediakala. Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, JKR memberitahu bahawa kawasan Andulau, Merangking, Keluyuh dan Labi serta kawasan sekitarnya turut mengalami gangguan bekalan air/tekanan air rendah.

Gangguan ini juga disebabkan penutupan bekalan air untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan berikutan kerosakan paip utama akibat tanah runtuh di kawasan berdekatan pada 25 Oktober lalu, kerja-kerja pembaikan dijangka selesai lewat hari ini. Walau bagaimanapun, orang awam dinasihatkan untuk menyimpan dan menggunakan air sebaiknya sepanjang tempoh itu, kerana tekanan air rendah mungkin akan berlarutan dari lima hingga tujuh hari selepas kerja-kerja tersebut selesai dijalankan, terutamanya di kawasan-kawasan tinggi.

Sehubungan itu, orang ramai dipohonkan untuk bersabar dan jika memerlukan perkhidmatan bekalan air melalui tangki air, bolehlah menghubungi hotline melalui talian 123 Darussalam, walau bagaimanapun, perkhidmatan ini terhad.

ARTIKEL YANG SAMA