KBSentral adakan pelbagai aktiviti

KBSentral adakan pelbagai aktiviti

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 1 Feb – Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2016 yang bakal menjelang, Pusat Membeli-Belah KBSentral akan mengadakan pelbagai aktiviti bagi menambah kecerian suasana perayaan itu, selain memberikan peluang kepada pelanggannya meluangkan masa bersama keluarga berkunjung ke pusat membeli-belah itu semasa cuti awam nanti.

Antara aktiviti yang bakal berlangsung di KBSentral termasuklah pertunjukan memasak yang akan menampilkan empat jenis resipi hidangan ala Cina yang akan melibatkan cef dari Restoran All Seasons.

Acara tersebut akan diadakan selama empat hari bermula 3 hingga 6 Februari ini, dengan hari pertama akan mendemonstrasikan hidangan Butter Prawn, hari kedua hidangan Prawn Siew Mai istimewa bagi penggemar-penggemar Dim Sum dan pada 5 Februari pula akan menunjukkan cara-cara memasak Yam Basket dengan Ayam manakala itu, hari terakhir akan mengetengahkan masakan Shanghai Dumpling.

Bagi mereka yang berminat untuk belajar memasak hidangan-hidangan yang menyelerakan itu, adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke KBSentral dan untuk maklumat lanjut boleh menghubungi talian 3339889 atau hantar e-mel ke alamat kbsentralmarketing@gmail.com.

Antara contoh tema merakamkan gambar detik ‘kegembiraan dan kenangan kasih sayang’ yang akan dipertandingkan oleh KBSentral sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2016 ini.
Antara contoh tema merakamkan gambar detik ‘kegembiraan dan kenangan kasih sayang’ yang akan dipertandingkan oleh KBSentral sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2016 ini.

Sementara itu, pada 7 Februari pula, KBSentral membukakan peluang kepada peminat-peminat fotografi di negara ini untuk menyertai Pertandingan Fotografi Sentral 2016 yang dikendalikan dengan kerjasama Syarikat Canon Interhouse.

Pertandingan itu antara lain bertujuan untuk mencari jurugambar yang kreatif dalam menterjemahkan tema ke dalam gambar.

Pemenang pertama akan membawa pulang sebuah kamera EOS1200D EFS18 5MM Kit DSLR, manakala pemenang kedua akan memenangi kamera IXUS 300 HS, dan tempat ketiga pula akan membawa pulang pencetak Pixma MG2970 AIO selain tiga hadiah sagu hati berupa beg Canon Goodie.

Para pemenang pertandingan akan diumumkan semasa Majlis Penyampaian Hadiah pada 13 Mac 2016 di ruang atrium KBSentral.

Tema pertandingan adalah merakamkan detik ‘kegembiraan dan kenangan kasih sayang’ dan ia dibukakan kepada semua penduduk di negara ini yang mempunyai kad pengenalan Brunei yang sah yangberusia 18 tahun ke atas. Pengu muman pemenang akan diadakan semasa Majlis Penyampaian Hadiah pada 13 Mac 2016 di ruang atrium KBSentral.

Kepada mereka yang berminat untuk menyertainya hendaklah mendaftar dengan bayaran $10 sahaja dan borang penyertaan boleh didapati di bahagian kaunter cabutan tiket bertuah di pusat membeli-belah tersebut dan di petak perkhidmatan cetakkan di Tingkat Satu. Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi talian 3339889 atau hantar e-mel kepada kbsentralmarketing@gmail.com.

Sementara itu pada 13 dan 14 Februari pula, KBSentral akan turut mengadakan Minggu Kebudayaan Cina bermula pukul 1 petang hingga 9 malam juga bersempena Sambutan Tahun Baru Cina 2016.

Persatuan Wushu Brunei Belait dan Sekolah Menengah Chung Hwa dijangka akan turut melibatkan diri menyertai acara tersebut dengan persembahan seni mempertahankan diri Wushu dan tarian-tarian kebudayaan Cina serta persembahan dram untuk menceriakan lagi suasana.

Turut diselitkan dalam Minggu Kebudayaan itu adalah Pertandingan Mewarna selama dua hari, selain berbagai bentuk permainan yang akan memberi peluang kepada pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah serta cenderahati berupa Ang Pow atau paket merah serta pemberian buah limau Mandarin yang memang terkenal sebagai hidangan utama pada musim perayaan Tahun Baru Cina.

Sepanjang Minggu Kebudayaan Cina itu juga akan menjanjikan pelbagai pengalaman menarik kepada orang ramai, termasuklah berpeluang menyaksikan berbagai-bagai aktiviti kreativiti seperti membuat tanglung, membuat kad, demonstrasi seni khat Cina dan sebagainya yang pasti akan memberi keseronokan kepada semua golongan usia dan masyarakat berbilang bangsa.

Kesemua aktiviti yang dianjurkan dihasratkan untuk memeriahkan suasana perayaan pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA