KBSentral anjur Minggu Emoji

KBSentral anjur Minggu Emoji

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Okt – KBSentral sekali lagi membawakan Minggu Emoji 2.0 yang bermula hari ini sehingga 20 Oktober sekali gus menawarkan hadiah-hadiah menarik untuk dimenangi dalam pelbagai acara yang disediakan.

Antara acara yang diadakan ialah melukis ikon emoji bagi kanak-kanak berusia antara 12 hingga 14 tahun, manakala pertandingan mewarna emoji dibukakan kepada kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun. Pertandingan lukisan dan mewarna akan diadili melalui kekreatifan peserta.

Minggu Emoji kali ke-2 ini turut menyediakan pelbagai acara menguji kecerdasan minda melalui kuiz teka nama filem berdasarkan emoji yang disediakan. Ia juga mengadakan pertandingan melalui Instagram di mana peserta yang memuat naik gambar emoji paling kreatif kemudiannya akan dimasukkan ke dalam Instagram KBSentral dan sesiapa yang memperolehi ‘Like’ paling banyak akan memenangi baucar makanan di salah sebuah restoran di kompleks membeli-belah itu.

Selain itu, KBSentral juga mengadakan permainan mini terbuka bagi semua pelanggan, antaranya menembak emoji, memecahkan belon, boling emoji dan sebagainya. Turut diadakan ialah jualan barangan menarik seperti cawan, bantal dan banyak lagi berbentuk emoji yang comel. Bagi yang menggemari kek cawan dan donut serta aiskrim berbentuk emoji, Kedai Kek Lof di kompleks KBSentral juga menjualnya pada Minggu Emoji ini.

Minggu Emoji 2.0 anjuran KBSentral kembali memberikan peluang kepada penduduk berhibur dengan pelbagai permainan disediakan untuk semua golongan usia.
Minggu Emoji 2.0 anjuran KBSentral kembali memberikan peluang kepada penduduk berhibur dengan pelbagai permainan disediakan untuk semua golongan usia.

ARTIKEL YANG SAMA