KBSentral anjur ‘Sing-Off’

KBSentral anjur ‘Sing-Off’

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 9 Nov – Buat julung-julung kalinya, Pusat Membeli-Belah KBSentral telah menganjurkan Pertandingan ‘Sing-Off’ yang berlangsung di ruang legar pusat membeli-belah berkenaan, malam kelmarin.

Pertandingan telah dibahagikan kepada tiga kategori, dengan Kategori A dimenangi oleh Wang Mei Fang yang membawa pulang baucar daripada TimeZone, Coffee Bean dan Jaya Hypermart serta tiket wayang daripada Times Cineplex yang disampaikan oleh Awang Sumardi bin Sibol dari Stormfield Band yang dilantik khas sebagai juri awam.

Manakala itu, Kategori B pula dimenangi oleh Awang Mohd Shamsol bin Haji Alani dan juara Kategori C disandang oleh pasangan duet Awang Sapry Hamid dan Dayang Sarinah S.

Pemenang kedua-dua kategori ini menerima pakej penginapan satu malam di Garden Sentral Hotel yang bernilai $179.

Sementara itu, David Kong pula telah dinobatkan sebagai pemenang bagi Kategori Pakaian Terbaik.

Para peserta bersama kakitangan KBSentral dalam pertandingan ‘Sing-Off’.
Para peserta bersama kakitangan KBSentral dalam pertandingan ‘Sing-Off’.

Seramai 36 orang peserta telah menunjukkan bakat mereka dalam ketiga-tiga kategori yang diadili daripada segi persembahan tempo, gaya dan kejelasan lirik lagu mereka.

Pengurus Pemasaran KBSentral, Awang Sim Poh Fatt juga hadir sebagai salah sorang daripada barisan juri dalam pertandingan berkenaan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang serta peserta-peserta yang lain.

Menurut Awang Sim, beliau amat berpuas hati dengan penyertaan yang menggalakkan serta maklum balas positif mengenai pertandingan yang baru pertama kali diadakan di KBSentral ini.

Beliau turut melahirkan harapan agar pihak pengurusan akan berusaha lagi untuk mengadakan acara seumpamanya dalam peringkat yang lebih besar untuk menarik hati penyertaan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA