KBSentral ceriakan kanak-kanak Hospital SSB

KBSentral ceriakan kanak-kanak Hospital SSB

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Feb – Sempena sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2016, pihak pengurusan KBSentral tidak ketinggalan dalam menceriakan kanak-kanak yang sedang dirawat di Hospital Suri Seri Begawan (SSB) melalui kunjungan mereka hari ini.

Ketibaan rombongan pihak pengurusan KBSentral ke Wad 15 Hospital SSB, Kuala Belait itu telah dialu-alukan oleh Pegawai Jururawat, Haji Mohd Reduan bin Abdul Fata, dan jururawat lainnya serta pegawai perubatan di wad berkenaan.

Kunjungan yang antara lain bertujuan untuk menceriakan perasaan kanak-kanak yang sedang dirawat di hospital turut dimeriahkan dengan pemberian cenderahati berbentuk Ang Pow dan hadiah bungkusan serta belon.

Turut menggembirakan kanak-kanak di sana ialah dengan kemunculan maskot Minion yang menjadi kegemaran dalam kalangan kanak-kanak untuk menghiburkan mereka, serta memberikan peluang mengambil gambar bersama maskot kegemaran mereka itu.

Maskot Minion menghiburkan kanak-kanak yang dirawat di Wad 15, Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait.
Maskot Minion menghiburkan kanak-kanak yang dirawat di Wad 15, Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait.
Rombongan pihak pengurusan KBSentral merakamkan kenangan bersama jururawat dan pegawai perubatan di Wad 15 dalam kunjungan mereka kelmarin.
Rombongan pihak pengurusan KBSentral merakamkan kenangan bersama jururawat dan pegawai perubatan di Wad 15 dalam kunjungan mereka kelmarin.

Bagi menceriakan suasana sambutan itu, pihak pengurusan Pusat Beli-Belah KBSentral telah banyak menganjurkan berbagai-bagai acara yang telah memberikan peluang kepada orang ramai terutama pengunjung mereka meluangkan masa bersama anak-anak dan keluarga membeli-belah sambil berhibur di pusat beli-belah berkenaan, semasa waktu lapang terutama pada cuti-cuti awam dan cuti persekolahan.

Di samping itu, KBSentral juga telah menawarkan berbagai-bagai promosi menarik termasuk penginapan hotel serta Apartment Green Sentral pada harga yang menarik dan berpatutan bagi memberikan peluang orang ramai berehat sambil berseronok dengan pelbagai acara yang disediakan pada masa ini, termasuk Peraduan Fotografi yang masih dibukakan untuk penyertaan ramai selain mengadakan Bengkel Asas Fotografi pada 20 Februari ini nanti.

ARTIKEL YANG SAMA