KBSentral ceriakan Pusat Bahagia Eric Goh

KBSentral ceriakan Pusat Bahagia Eric Goh

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 22 Julai – Dalam bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri, masyarakat berkeperluan khas turut tidak dilupakan apabila pelbagai pihak menceriakan dengan meraikan sambutan Hari Raya bersama-sama.

Pusat Beli-Belah KBSentral juga tidak ketinggalan dengan menganjurkan Majlis Ramah Mesra Hari Raya bersama pelajar-pelajar Pusat Bahagia Eric Goh di sini, yang berlangsung di ruang atrium pusat tersebut.

Majlis berkenaan dimeriahkan dengan berbagai-bagai acara hiburan dan permainan di samping menikmati hidangan makanan ringan tajaan Jaya Hypermart Sendirian Berhad serta penaja lainnya seperti Ochado, Beesket, Jolibee dan Cinnabon.

Selain itu, majlis turut diserikan lagi dengan pemberian hadiah kepada pemenang yang berjaya menjawab soalan kuiz.

Kalangan warga Pusat Bahagia Eric Goh bergambar ramai semasa majlis tersebut.
Kalangan warga Pusat Bahagia Eric Goh bergambar ramai semasa majlis tersebut.

Berbagai-bagai persembahan seperti nyanyian lagu-lagu hari raya, dan permainan menyambung lirik lagu, serta permainan lainnya telah menghiburkan kalangan warga Pusat Bahagia Eric Goh dan lainnya.

Tidak ketinggalan, pertandingan membuat ketupat, dengan peserta diberikan reben dan melengkapkan reben ketupat, turut menceriakan pesertanya, dan mereka yang menang berjaya membawa balik hadiah bungkusan hamper selain cenderahati juga diberikan kepada semua yang hadir, inisiatif daripada penganjur majlis.

Penyertaan daripada kalangan warga Pusat Eric Goh juga menceriakan lagi suasana majlis berkenaan melalui persembahan nyanyian dan tarian mereka.

ARTIKEL YANG SAMA