KBSentral ceriakan Pusat Bahagia Eric Goh

KBSentral ceriakan Pusat Bahagia Eric Goh

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Nov – Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, KBSentral telah mengadakan lawatan dan melakukan beberapa kerja kemasyarakatan di Pusat Bahagia Eric Goh, Jalan Pandan, di sini, hari ini.

Dalam lawatan tersebut kakitangan KBSentral turut menyediakan beberapa acara untuk membantu menceriakan pelajar-pelajar di pusat tersebut antaranya aktiviti permainan serta mengadakan sambutan hari ulang tahun untuk pelajar yang lahir pada bulan September dan November, di mana mereka turut menerima beberapa cenderahati.

Di samping itu, para pelajar juga berpeluang menikmati pelbagai hidangan yang disediakan oleh KBSentral.

Bagi menceriakan lagi suasana aktiviti yang diadakan di Pusat Bahagia tersebut, kakitangan KBSentral turut membawa bersama mereka dua maskot yang menjadi kegemaran kanak-kanak pada masa kini.

Kakitangan KBSentral menghiburkan pelajar-pelajar Pusat Bahagia Eric Goh dengan berbagai aktiviti permainan dan hiburan.
Kakitangan KBSentral menghiburkan pelajar-pelajar Pusat Bahagia Eric Goh dengan berbagai aktiviti permainan dan hiburan.

Lawatan ke Pusat Bahagia Eric Goh itu juga bertujuan untuk menyuntik semangat keprihatinan kepada kakitangan KBSentral supaya sentiasa mempunyai sikap pemedulian terutama sekali kepada masyarakat yang memerlukan.

Sebelum ini, KBSentral juga telah beberapa kali mengadakan berbagai-bagai program CSR seperti lawatan ke Sekolah Tadika, Daily Care dan juga melawat kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait.