KBSentral dan Pertandingan Fotografi Sentral anjur bengkel fotografi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Ogos – Pusat Membeli-belah KBSentral bersama Pertandingan Fotografi Sentral akan menganjurkan Bengkel Fotografi, di sini, esok.

Bengkel tersebut akan dikendalikan oleh seorang pengusaha fotografi acara dan perkahwinan yang sudah tidak asing lagi, Awang Mohd Haji Bahruddin bin Haji Abdul Hakim dari Artz Production.

Bengkel selama dua jam itu akan dibahagikan kepada beberapa sesi praktikal, perkongsian bersama dengan peserta-peserta dan seni fotografi.

Topik utama yang akan didedahkan sepanjang bengkel termasuklah mengenali apa kamera, mengetahui kamera kita, jenis kamera, jenis fotografi seperti potret, landskap, makro, sukan dan makanan, seterusnya memahami ISO, kepantasan pengatup dan apertur serta memahami tentang cahaya semasa penggambaran.

Ia diadakan dengan hasrat supaya akan dapat memberikan tip-tip yang berguna, dan peluang untuk menang dalam pertandingan-pertandingan fotografi yang diadakan termasuklah menyertai pertandingan Fotografi Sentral dengan hadiah-hadiah yang menarik menanti.