KBSentral dibuka rasmi

KBSentral dibuka rasmi

Oleh Anwar Rosly

 

Kuala Belait, 25 Nov – Pusat Membeli-Belah Sentral, Kuala Belait (KBSentral) akhirnya dibuka secara rasmi dalam majlis besar-besaran yang dihadiri oleh ratusan pengunjung, di pusat membeli-belah berkenaan, di Jalan Maharaja Setia Kampung Mumong A, di sini, hari ini.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam; timbalan-timbalan setiausaha tetap, Haji Mohammad Sunadi bin Haji Buntar dan Haji Idris bin Haji Mohd Ali; Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman; Pengarah Eksekutif KBSentral, Awang Hambali bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh; Pengarah Urusan, Awang Tan Kah Boon; dan Pengurus Am KBSentral, Dayang Abby Lim.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Abby menyatakan teras utama KBSentral adalah sebagai tempat riadah bagi seisi keluarga kerana ia mempunyai kepelbagaian di bawah satu bumbung, bukan sahaja sebagai tempat membeli-belah malah sebagai tempat riadah dan destinasi utama hiburan bagi keluarga dan masyarakat ramai yang ingin meluangkan masa mereka dengan aktiviti-aktiviti kekeluargaan atau keramaian dalam acara-acara yang diadakan oleh pihak pengurusan KBSentral ataupun bagi mereka yang ingin mencari tempat makan yang selesa.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa melancarkan perasmian pembukaan KBSentral, Kuala Belait.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa melancarkan perasmian pembukaan KBSentral, Kuala Belait.
Yang Berhormat Pehin dibawa melawat ke kedai-kedai dan restoran yang terdapat di KBSentral.
Yang Berhormat Pehin dibawa melawat ke kedai-kedai dan restoran yang terdapat di KBSentral.

“Setakat ini, kami mempunyai 29 buah kedai dan restoran sejak KBSentral dibuka pada bulan Januari awal tahun ini. Di bawah bumbung yang sama, kami juga mempunyai hotel dan perkhidmatan apartmen, lengkap dengan kolam renang, gimnasium dan taman laman riadah bagi pengunjung yang menginap di hotel kami,” ujarnya.

Beliau menambah, KBSentral bermatlamat untuk memberi pengalaman membeli-belah serta keseronokan yang bermanfaat dengan acara dan aktiviti yang menghiburkan serta berpendidikan.

Menurutnya, mereka telah berjaya mengadakan pelbagai acara di sana, seperti Minggu Kreatif Kanak-kanak, Minggu Memasak Cef Junior, Pertandingan Spelling Bee, Minggu Emoji, pameran hartanah, Tamiya Grand Finale dan cabutan bertuah KBSentral pertama.

“Kami juga telah mengadakan acara-acara yang memberi manfaat kepada masyarakat, seperti kempen antitembakau, kesihatan dan minggu kecergasan, kempen derma darah dan pameran kerjaya,” tambahnya.

Pihak pengurusan KBSentral juga dapat berbangga dengan satu lagi matlamat yang dicapai iaitu untuk memberikan pekerjaan kepada penduduk tempatan di daerah ini, yang menurutnya, 80 peratus kakitangan di bawah KBSentral adalah rakyat tempatan.

Selepas majlis pelancaran itu, Yang Berhormat Pehin turut melawat kedai-kedai dan restoran di bawah KBSentral serta ke Hotel KBSentral yang bersebelahan.

ARTIKEL YANG SAMA