KBSentral hargai pengamal media

KBSentral hargai pengamal media

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 25 Mei – Sebagai penghargaan kepada media cetak di negara ini, Pengurusan Pusat Membeli-Belah KBSentral, malam tadi, telah mengadakan Majlis Malam Penghargaan Media yang berlangsung di kafe Hotel KB Sentral di sini.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengurus Am, Dayang Abby Lim telah merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh pasukan media cetak Kuala Belait yang mewakili akhbar-akhbar berbahasa Inggeris, Melayu dan Cina di negara ini.

Menurutnya, pihak media telah banyak memainkan peranan, dalam membantu mempromosikan aktiviti-aktiviti serta acara yang dianjurkan sejak Kompleks Membeli-belah KBSentral yang dilancarkan tahun lalu.

Selain itu, beliau juga berharap supaya kerjasama erat antara pihak pengurusan KBSentral dengan media khususnya yang bercawangan di Daerah Belait akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Pengamal media tempatan ketika diraikan malam tadi.
Pengamal media tempatan ketika diraikan malam tadi.

Berbagai-bagai acara permainan yang bertemakan ‘Mengimbau Zaman Kanak-Kanak’ yang penuh dengan kelucuan dan keseronokan, sedikit sebanyak telah dapat membantu mengurangkan rasa penat yang dialami oleh kalangan media yang terus bertugas setiap hari mencari bahan berita untuk muatan akhbar masing-masing.

Selain mencari berita melalui acara-acara yang berlangsung, pihak media juga turut berperanan dalam mencari berita-berita semasa yang menarik minat para pembaca umum, selain berita-berita terkini umpama kejadian kebakaran, kemalangan dan sebagainya.

Pada majlis penghargaan itu, pasukan media telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan muncul sebagai juara yang terpilih menjadi pemain permainan terbaik ialah Kumpulan Empat yang diwakili oleh pemberita Media Permata yang berpasangan dengan pemberita Pelita Brunei.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Dayang Abby Lim.

Majlis dihadiri sama oleh Penolong Acara dan Pemasaran, Awang Anwar bin Haji Rosly dan kakitangan Jabatan Pemasaran KBSentral lainnya.

Majlis antara lain bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara bahagian pengurusan KBSentral dengan pihak media, selain untuk memberikan penghargaan atas kerjasama yang telah diberikan selama ini.