KBSentral lancar kempen cabutan bertuah mega

KBSentral lancar kempen cabutan bertuah mega

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 29 Okt – Kompleks Membeli-belah KBSentral, di sini, hari ini, telah melancarkan kempen cabutan bertuah besar-besaran yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan bernilai $200,000 keseluruhannya termasuk sebuah rumah banglo berkembar sebagai hadiah utama.

Kempen yang akan berlangsung dari 1 November 2015 hingga 25 Jun 2016 nanti akan merangkumi empat siri cabutan bertuah dengan cabutan pertama akan diadakan pada 1 Mei 2016, kedua pada 28 Ogos 2016 dan cabutan ketiga pada 8 Januari 2017, manakala itu cabutan keempat yang juga cabutan utama akan diadakan pada 26 Jun 2017.

Tiga cabutan awal akan menawarkan kereta salon bagi hadiah pertama manakala cabutan utama menawarkan rumah banglo berkembar, di samping pelbagai hadiah lain termasuk barangan elektronik baucar dan sebagainya untuk dimenangi dalam setiap cabutan.

Pengurus Am KBSentral, Dayang Abby Lim semasa sidang media mengenai kempen berkenaan, berkata, tarikh tutup penyertaan bagi setiap cabutan ialah sehari sebelum cabutan diadakan, manakala itu, tempoh penyertaan cabutan seterusnya bermula selepas penyampaian hadiah cabutan sebelumnya.

Untuk menyertai kempen ini, orang ramai hanya perlu membeli-belah dan makan di kedai-kedai di bawah pusat membeli-belah berkenaan atau menonton filem di pawagam Cineplex secara tunai atau kad kredit.

Kakitangan KBSentral bergambar di hadapan poster besar cabutan bertuah bersiri di KBSentral, semalam.
Kakitangan KBSentral bergambar di hadapan poster besar cabutan bertuah bersiri di KBSentral, semalam.

Kemudian, pelanggan perlu menunjukkan resit di kaunter cabutan bertuah, mendapatkan cap dan isikan maklumat pada resit sebelum dimasukkan ke dalam kotak disediakan untuk cabutan setiap hari.

Pelanggan boleh menyertai seberapa banyak kali yang mereka mahu untuk mendapatkan peluang tinggi untuk menang.

Sepuluh orang peserta bertuah akan dipilih setiap hari untuk cabutan bertuah berkenaan, manakala itu, resit yang tidak dipilih daripada cabutan harian akan dibuang dan tidak akan dibawa ke hari berikutnya.

Para peserta terpilih berkenaan akan dihubungi melalui telefon atau pesanan ringkas untuk mengisi Kupon Cabutan Bertuah (dengan nombor bersiri) dalam masa tujuh hari di kaunter cabutan bertuah di KBSentral.

Pemegang kupon cabutan bertuah itu perlu hadir pada majlis cabutan bertuah yang dinyatakan, bersama-sama dengan kad pengenalan sebagai bukti identiti dan kupon cabutan bertuah mereka.

Dalam pada itu, KBSentral turut memperkenalkan dua penyewa baru yang beroperasi di KBSentral, iaitu Progresif Cellular Sdn Bhd dan Beesket di tingkat pertama.

Dengan 90 peratus daripada kedai sudah dibuka untuk perniagaan, kompleks membeli-belah berkenaan mengumumkan majlis besar-besaran bagi pembukaan rasmi KBSentral pada 14 November nanti.

Pelanggan juga boleh mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai kempen cabutan bertuah dengan mengikuti akaun Facebook (KBSentral Shopping Centre) dan Instagram (@kbsentral) atau menghubungi KBSentral di talian 3339889.

ARTIKEL YANG SAMA