KBSentral lancar surat berita kedua

KBSentral lancar surat berita kedua

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 12 Jan – Pusat Membeli-Belah KBSentral hari ini, telah mengumumkan pelancaran surat berita (Newsletter) yang diterbitkan Secara dwi-tahunan.

Sebanyak 4,000 naskhah surat berita kali kedua ini boleh didapati secara percuma di kaunter Cabutan Bertuah KBSentral.

Pengurus Pemasaran KBSentral Awang Sim Poh Fatt, semasa ditemu bual memberitahu, terbitan ini dilancarkan secara rasmi setelah tempoh percubaan menerbitkan edisi pertama yang memaparkan aktiviti bulan Januari 2015 hingga Jun 2015 mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

“Edisi pertama habis dalam masa dua minggu dan kali ini edisi kedua memaparkan segala berita aktiviti dan acara yang telah diadakan sejak bulan Ogos 2015 hingga ke bulan Disember 2015,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ciri-ciri kandungan dalam surat berita ini juga termasuk maklum balas dan pendapat positif daripada perniagaan-perniagaan di bawah bumbung KBSentral serta para pengunjung yang datang ke pusat membeli-belah tersebut.

Naskhah surat berita KBSentral yang baru.
Naskhah surat berita KBSentral yang baru.
Para pengunjung sedang membaca naskah surat berita KBSentral yang baru.
Para pengunjung sedang membaca naskah surat berita KBSentral yang baru.

Menurutnya lagi, KBSentral juga membantu mempromosikan produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh perniagaan-perniagaan tersebut bagi mendedahkan lagi produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

“Bagi mendedahkan lagi perniagaan di sini, pada setiap hujung minggu kakitangan KBSentral juga akan menerbitkan beberapa naskhah di Pekan Belait,” jelas Awang Sim lagi.

Edisi ketiga surat berita KBSentral akan memaparkan segala aktiviti dan acara serta promosi daripada perniagaan-perniagaan di bawah bumbung KBSentral termasuk Hotel KBSentral dari bulan Julai 2016 hingga Disember 2016.

Dalam pada itu, KBSentral turut mengumumkan bahawa Jerayawara ‘Home & Living’ akan diadakan bermula 21 hingga 24 Januari ini dan mengenai kempen cabutan bertuah mega yang sedang berlangsung pada masa ini, cabutan akan diadakan setiap penghujung bulan sehingga April nanti bagi memilih lima orang pemenang untuk setiap bulan.

“Konsepnya adalah sama, orang ramai hanya perlu membeli-belah dan makan di kedai-kedai di bawah pusat membeli-belah berkenaan atau menonton filem di pawagam Cineplex secara tunai atau kad kredit.

Kemudian, pelanggan perlu menunjukkan resit di kaunter cabutan bertuah, mendapatkan cap dan isikan maklumat pada resit sebelum dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan untuk cabutan.”

Menurut beliau, cabutan ini merupakan cabutan bertuah tambahan yang diadakan selain daripada memilih 10 orang pemenang bagi kempen cabutan bertuah mega.

ARTIKEL YANG SAMA