KBSentral rai Hari Kanak-Kanak Sedunia

KBSentral rai Hari Kanak-Kanak Sedunia

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 16 Jun – Pusat Membeli-Belah KBSentral, meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia dengan mengadakan pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan di atrium pusat membeli-belah berkenaan, bermula kelmarin hingga hujung minggu ini.

Pengurus acara berkenaan, Chan Peang Seng, ketika ditemui hari ini, menyatakan, acara seumpama ini diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai membawa keluarga terutamanya anak-anak untuk beriadah di sana.

Sementara ibu bapa membeli barang keperluan rumah, anak-anak dapat meluangkan masa dengan mengikuti acara-acara yang dipertandingkan, ujarnya.

Menurut beliau, ini adalah masa yang sesuai untuk mengadakan pertandingan-pertandingan tersebut sambil meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia, kerana anak-anak mereka baru sahaja selesai peperiksaan penggal kedua, dan sebelum menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

Hari ini, tiga pertandingan utama diadakan terbuka bagi kanak-kanak berumur lapan hingga 14 tahun, iaitu pertandingan susun suai gambar (jigsaw), di mana kanak-kanak perlu menyelesaikan 104 keping gambar untuk memenangi beberapa buah hadiah yang disediakan oleh penganjur.

Antara kanak-kanak yang hadir mengikuti beberapa buah pertandingan yang diadakan di Pusat Membeli-Belah KBSentral, Kuala Belait.
Antara kanak-kanak yang hadir mengikuti beberapa buah pertandingan yang diadakan di Pusat Membeli-Belah KBSentral, Kuala Belait.

Pemenang pertama dalam pertandingan tersebut ialah Awang Mohd Waiz bin Masreen apabila menyelesaikan teka-teki tersebut dalam masa kurang daripada 30 minit.

Seterusnya adalah pertandingan mewarna yang menyaksikan 22 penyertaan, dan dimenangi oleh Dayang Nurul Fat’ha binti Jasni, diikuti oleh Dayang Nurul Farawaiedah binti Jasni di tempat kedua. Hasil pertandingan mewarna ini akan dipamerkan selama seminggu di atrium pusat membeli-belah berkenaan.

Pertandingan terakhir ialah melukis yang disertai lapan kanak-kanak, di mana para peserta perlu melukis impian dan cita-cita mereka di atas kertas.

Awang Muhd Syahmi Syahir bin Mohd Buang menduduki tempat pertama dengan melukis cita-cita untuk menjadi seorang saintis dan Awang Nazmi bin Japri pula memenangi tempat kedua dengan cita-cita untuk menjadi juruterbang pejuang jet.

Selain daripada pertandingan-pertandingan yang diadakan ini, maskot daripada KBSentral juga membuat kemunculan dan menghiburkan para pelanggan dengan persembahan tarian yang mempesonakan diikuti dengan permainan kerusi muzik.

ARTIKEL YANG SAMA