KBVK dapat sambutan menggalakkan

KBVK dapat sambutan menggalakkan

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST Kali Ke-7, 2016 akan membuka tirainya dengan Piala Sumbangsih pada 14 Februari depan dengan perlawanan juara Piala Presiden, XN FT lawan penyandang Piala FA, M.o.D (Kementerian Pembangunan).

Perlawanan itu akan berlangsung di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) bermula pukul 8:00 malam, dedah Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Veteran Kebangsaan (VFA), Awang Jabar bin Ithnin semasa Majlis Mesyuarat Pengurus Pasukan & Pengundian KBVK DST Kali Ke-7, 2016 hari ini.

Semasa mesyuarat di Bilik Persidangan, NFABD House berkenaan, Awang Jabar turut mendedahkan bahawa Piala Presiden akan bermula pada 19 Februari sementara Piala FA akan membuka tirainya pada 18 Mac.

XN FT berjaya mencatat sejarah baru Piala Presiden KBVK DST apabila memenanginya tiga tahun berturut-turut selepas menang 4-1 (1-1) ke atas Juara Edisi Pertama (2010), PSJD menerusi sepakan penalti penentuan pada Edisi Ke-6 kejohanan tahun lalu.

Manakala M.o.D menjulang Piala FA, KBVK DST selepas mengalahkan juara bertahan, Al-Idrus dengan jaringan 2-1 musim lalu.

Kejohanan yang terus mendapat tajaan daripada DST itu kali ini menyaksikan rekod baru jumlah penyertaannya yang mencecah sehingga 40 buah pasukan berbanding hanya 34 buah pasukan musim lalu, yang menyaksikan penyertaan 12 pasukan baru.

Bukan itu saja yang meningkat, tetapi juga hadiah wang tunai yang disediakan untuk tiga pasukan terbaik Piala Presiden iaitu dari $1,000 kepada $1,500 untuk juara, dari $750 kepada $1,000 untuk naib juara, dan dari $500 kepada $750 untuk tempat ketiga. Manakala hadiah wang tunai untuk Piala FA dikekalkan iaitu $750 untuk juara dan $500 untuk naib juara.

Pada Majlis Pengundian hari ini, 40 buah pasukan berkenaan telah dibahagikan kepada lapan buah kumpulan yang mengandungi lima buah pasukan setiap kumpulan.

Terundi dalam Kumpulan A ialah Riwayat FC, I Team, Media FC, Pondok 12 dan Wasabi FC, manakala Kumpulan B diisi oleh M.o.D., Satria Veteran, Manggis FC, RB Veteran dan Muara Spurs.

Mengisi Kumpulan C ialah BESA FC, B.I.P. FC, Kilugus FC, DST Veteran dan NJP J4F FT, sementara BSRC, Setia Bakti ‘B’, PBDB, Terazza FC dan TJ FT terundi dalam Kumpulan D.

Kumpulan E pula mengandungi juara bertahan, XN FT, Menengah FC, Al Idrus, CLE‘AS Veteran FC dan KPPKSK, manakala Kumpulan F diisi oleh IKLS Veteran FC, Setia Bakti FC, Stoneville FC, Mangelella FC dan MBS Utd FC. Terundi dalam Kumpulan G ialah Rimba Star FC, Old Stars, MPK PB Veteran, B.O.B. dan Mix FT, sementara PSJD, MIISA Utd FC, KB Warriors, AKSE Bersatu dan MOHAIS FC terundi dalam Kumpulan H.

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Naib Presiden I VFA, Haji Metussin bin Bagol sambil dibantu oleh Naib Presiden II VFA, Awang Sharbini bin Mohidin.