KDB Daruttaqwa selamat kembali ke tanah air

KDB Daruttaqwa selamat kembali ke tanah air

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Kapal Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), KDB Daruttaqwa telah selamat kembali ke tanah air selepas menyertai Eksesais Tentera Laut Pelbagai Hala KOMODO 2016 dan Pemeriksaan Armada Antarabangsa Tentera Laut Indonesia yang berlangsung di Padang, Republik Indonesia, pada 12 hingga 16 April lalu.

Komander Khairil bin Haji Abdul Rahman ketika ditemu bual berkata Kapal Diraja Brunei Daruttaqwa berkenaan telah terlibat dalam latihan berkenaan yang dianjurkan setiap dua tahun sekali.

Kapal berkenaan telah memulakan pelayaran dari Brunei pada 4 April 2016 dan tiba di Padang, Sumatera Barat, Indonesia pada 11 April.

KDB Daruttaqwa mengikuti latihan yang dianjurkan oleh Angkatan Laut Indonesia yang dimulakan dengan Pemeriksaan Armada Antarabangsa di mana presiden Indonesia sendiri turut hadir untuk membuat pemeriksaan semua kapal yang menyertai latihan berkenaan.

KDB Daruttaqwa ketika tiba di perairan Brunei.
KDB Daruttaqwa ketika tiba di perairan Brunei.
Komander Khairil ketika ditemu bual.
Komander Khairil ketika ditemu bual.
Antara kru KDB Daruttaqwa yang disambut pada majlis itu.
Antara kru KDB Daruttaqwa yang disambut pada majlis itu.

Kemudian, KDB Daruttaqwa menyertai acara Sea Fest yang diadakan pada 14 hingga 16 April yang berlangsung di Kepulauan Mentawai, 70 batu dari Padang Sumatera.

Sebelum memulakan latihan Sea Fest, kru dan pegawai berkesempatan berinteraksi bersama anggota angkatan laut yang lain dengan menyertai acara perlawanan bola sepak di pantai dan acara perlumbaan perahu yang diadakan di Pantai Purus.

Sepanjang Sea Fest sebanyak 48 buah kapal ikut serta yang terdiri daripada 33 buah negara, ada sebilangan negara juga menghantar ahli-ahli mereka untuk menjadi pemerhati dan juga termasuk melaksanakan Kerja Sivil Kejuruteraan dan aktiviti kesihatan di Kepulauan Siburut dan Sipuara.

Apa yang dicapai sepanjang latihan berkenaan adalah bagaimana angkatan-angkatan tentera laut di seluruh kawasan termasuk di rantau ini bekerjasama untuk membasmi kegiatan-kegiatan ataupun anasir-anasir jahat.

Apa yang didapati semasa latihan berkenaan bukannya mudah untuk dicapai, di mana ia menyatukan aset-aset daripada berbilang bangsa dan berbilang tatacara untuk disatukan sebagai satu kumpulan petugas dan ini adalah salah satu mercu tanda bagi TLDB.

Menurut kenyataan TLDB, Pemeriksaan Armada Antarabangsa berkenaan turut mengetengahkan beberapa armada perang dari beberapa buah negara yang terlibat.

Hadir mengalu-alukan kru KDB Daruttaqwa ialah Pemangku Pemerintah Armada Tentera Laut Diraja Brunei, Komander Shamsul Bahren bin Haji Taweh.

ARTIKEL YANG SAMA