KDN sahkan penemuan kubur besar

KDN sahkan penemuan kubur besar

KAJANG, 24 Mei (Bernama) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan penemuan kubur-kubur besar berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian di Padang Besar, Perlis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit Komando VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.

Zahid berkata beliau dimaklumkan tentang penemuan itu oleh unit VAT 69 dan PGA pada minggu lepas.

Terkejut dengan penemuan itu, beliau berkata khemah-khemah tersebut dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.

“Hari ini, ketua polis negara dan timbalannya berada di sempadan Malaysia dan Thailand untuk melakukan pengecaman dan pengesahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.

Zahid berkata kubur-kubur itu dikenal pasti sebagai kubur kepada pelarian dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

“Mungkin, satu kubur memuatkan tiga, empat atau hanya satu mayat. PGA dan VAT 69 masih menjalankan siasatan dan memeriksa kawasan itu. Dengan kerjasama Thailand, kami akan menjumpai lebih banyak mayat,” katanya.

Zahid berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, akan mengumumkan perincian perkara itu dalam masa terdekat.

ARTIKEL YANG SAMA