KDNK ASEAN meningkat 2 kali ganda

KDNK ASEAN meningkat 2 kali ganda

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang diumumkan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 merupakan satu mercu tanda penting bagi ASEAN, yang meletakkan kumpulan persatuan 10 buah negara Asia Tenggara itu sebagai sebuah pasaran yang mempunyai kurang halangan, pergerakan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, tenaga kerja berkemahiran serta aliran kapital yang lebih bebas.

Semua itu, menawarkan peluang-peluang pelaburan, perdagangan dan pekerjaan yang lebih luas, jelas Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak ketika merasmikan Mesyuarat Kumpulan Kerja Produk Automotif (APWG) Jawatankuasa Perundingan ASEAN bagi Standard dan Kualiti (ACCSQ) ke-23, hari ini.

Mesyuarat berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong.

Menurut beliau, impak penubuhan AEC memberikan kesan yang amat besar kepada sektor automotif dan dipercayai mampu meningkatkan persaingan, inovasi, ekonomi dinamik dalam pasaran automotif serantau.

“Dalam tempoh kurang sedekad, KDNK ASEAN telah meningkat dua kali ganda kepada AS$2.6 trilion pada 2014, mengatasi kebanyakan ekonomi-ekonomi di dunia. Dalam sektor automotif sahaja, ASEAN dilaporkan antara pasaran automotif terbesar di dunia dan akan terus meningkat pentingnya sebagai pangkalan pengeluaran bagi pengeluar-pengeluar kereta terbesar di dunia terutamanya dari Asia, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.”

Pengiran Haji Mohd Zain menyatakan penubuhan AEC menawarkan peluang pelaburan, perdagangan dan pekerjaan lebih luas dan mampu meningkatkan persaingan.
Pengiran Haji Mohd Zain menyatakan penubuhan AEC menawarkan peluang pelaburan, perdagangan dan pekerjaan lebih luas dan mampu meningkatkan persaingan.

Pengiran Haji Mohd Zain berkata, dengan jumlah keseluruhan penduduk ketiga terbesar di dunia, selepas India dan China, ASEAN dijangka terus berkembang dengan pesat sebagai pasaran pengguna bagi kenderaan.

“Namun begitu, seperti mana-mana sektor yang lain, halangan bukan tarif terus menjadi satu cabaran,” ujar beliau.

Dalam hubungan itu, beliau percaya kerja-kerja dan inisiatif yang dilaksanakan oleh APWG itu, adalah amat relevan dan penting dalam menghilangkan halangan-halangan itu di mana ia setentunya akan meningkatkan lagi daya saing ASEAN dan memudahkan perdagangan dengan seluruh dunia.

Antara usaha dan inisiatif yang dilaksanakan termasuklah penetapan Perjanjian Pengiktirafan Bersama ASEAN (MRA) bagi Kelulusan Jenis Produk-produk Automotif di mana matlamat utama perjanjian berkenaan adalah untuk memastikan bahawa jika sesuatu produk automotif terkawal telah diuji oleh badan pemeriksaan atau makmal pemeriksaan yang berdaftar di negara-negara anggota pengeksport, produk itu boleh dibawa masuk dan dipasarkan di negara anggota pengimport tanpa perlu melalui pemeriksaan atau ujian lagi di dalam negara pengimport itu.

Menurut Pengiran Haji Mohd Zain lagi, MRA bagi produk-produk dalam sektor ekonomi lain juga sedang diusahakan seperti sektor ICT.

Beliau berkata adalah amat sesuai untuk membandingkan perkembangan usaha yang dilaksanakan dalam sektor lain dengan sektor automotif untuk mengetahui jika terdapat sebarang pengajaran yang boleh dipelajari daripada sektor-sektor lain itu.

Beliau yakin dengan kejayaan pelaksanaan MRA, para pengeluar produk automotif akan mendapati bahawa ia adalah lebih mudah dan murah untuk mengeksport komponen-komponen automotif dan sistem-sistem mereka ke negara anggota ASEAN yang lain dan sekali gus menyumbang kepada usaha merealisasikan AEC.

ARTIKEL YANG SAMA