KDNK ASEAN tumbuh 4.6 % pada 2014

KDNK ASEAN tumbuh 4.6 % pada 2014

BANGKOK, 19 Ogos – Keluaran Dalam Negara Kasar sebenar ASEAN (KDNK) telah meningkat sebanyak 4.6 peratus sehingga mencapai AS$2.57 trilion dalam 2014.

Pertumbuhan KDNK yang kukuh membawa kepada peningkatan dalam KDNK per kapita daripada AS$3,908 pada 2013 kepada AS$4,130 dalam 2014, menurut Sekretariat ASEAN dalam satu kenyataan hari ini.

Sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan pada 50.1 peratus daripada jumlah KDNK di rantau ini dalam 2014.

Dalam kes ASEAN6 (Negara Brunei darussalam, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand), semua negara kecuali Malaysia mengalami kelembapan dalam pertumbuhan mereka, yang membawa kepada penurunan dalam pertumbuhan purata KDNK daripada 5.1 peratus pada 2013 kepada 4.3 peratus dalam 2014, katanya.

Sebaliknya, pertumbuhan KDNK sebenar negara-negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) meningkat sebanyak 6.6 peratus pada 2014, lebih tinggi sebanyak 0.4 mata peratusan berbanding semasa 2013, katanya.

Dari segi Pariti Kuasa Beli (PPP), KDNK ASEAN mencecah PPP sebanyak AS$6.64 trilion dalam 2014, 6.1 peratus daripada KDNK dunia dalam PPP.

Sebaliknya, KDNK per kapita ASEAN dari segi PPP adalah sebanyak AS$10,677 yang bersamaan dengan kira-kira dua pertiga daripada PPP KDNK dunia kapita sebanyak AS$15,189, katanya.

Sebagai salah satu rantau yang paling pesat berkembang, bahagian KDNK ASEAN di dunia meningkat daripada 3.18 peratus dalam 2013 kepada 3.33 peratus pada 2014, katanya.

Saiz KDNK ASEAN pada 2014 berjumlah kira-kira 15 peratus daripada ekonomi Amerika Syarikat, berbanding hanya tujuh peratus dalam 2004 . – Bernama