KDNK catat pertumbuhan 1.5 peratus

KDNK catat pertumbuhan 1.5 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Negara Brunei Darussalam pada harga semasa dalam tempoh suku kedua (Q2) 2015 dianggarkan berjumlah $4,540.1 juta berbanding pada suku pertama (Q1) 2015 berjumlah $4,585.4 juta.

Melihat dari segi pertumbuhan KDNK pada harga tetap, suku kedua tahun ini telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.5 peratus tahun-ketahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri mengenai KDNK Suku Tahunan Suku Kedua 2015 hari ini menjelaskan ia adalah disebabkan oleh peningkatan dalam kedua-dua Sektor Minyak & Gas dan Sektor Bukan Minyak & Gas yang masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 0.8 peratus dan 2.5 peratus.

Pertumbuhan Sektor Minyak & Gas ini adalah berikutan dengan peningkatan pengeluaran minyak dan gas sebanyak 0.2 peratus dan Pembuatan LNG dan Methanol sebanyak 3.0 peratus.

Sementara Sektor Pertanian, Perhutanan dan Perikanan pada Q2 2015 menunjukkan peningkatan sebanyak 7.7 peratus disebabkan peningkatan dalam Perikanan sebanyak 29.8 peratus dan pengeluaran sayur, buah-buahan dan pertanian lain sebanyak 10.2 peratus.

Sektor Industri pula meningkat sebanyak 1.7 peratus selepas penurunan sebanyak 7.2 peratus pada Q1 2015 dan ini disebabkan peningkatan bagi sektor Perlombongan Minyak dan Gas sebanyak 0.2 peratus dan Pembuatan LNG dan Methanol sebanyak 3.0 peratus.

Manakala Sektor Pembinaan pula mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan 27.1 peratus diikuti dengan Pembuatan Makanan dan Minuman sebanyak 7.2 peratus dan Sektor Perkhidmatan turut meningkat 1.1 peratus setelah penurunan sebanyak 5.9 peratus pada Q1 2015.

JPKE juga menjelaskan, Pengangkutan Udara mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan 8.5 peratus diikuti dengan Perdagangan Borong dan Runcit dengan 6.0 peratus dan Kewangan dengan 5.8 Peratus.

KDNK mengikut pendekatan perbelanjaan mencatatkan peningkatan kepada Perbelanjaan Penggunaan Kerajaan sebanyak 0.1 peratus, Perbelanjaan Penggunaan Persendirian sebanyak 9.4 peratus dan Pembentukan Modal sebanyak 8.8 peratus.

Walau bagaimanapun, Eksport Barangan, Perkhidmatan, Import Barangan dan Perkhidmatan menunjukkan penurunan masing-masing dengan 9.6 peratus dan 6.2 peratus.

KDNK adalah ukuran bagi jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam tempoh tertentu setelah ditolak kos barangan dan perkhidmatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.

Sehubungan itu, laporan penuh KDNK Q2 2015 boleh didapati melalui laman web JPKE di laman sesawang www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA