KDNK China perlahan pada 6.7%

KDNK China perlahan pada 6.7%

BEIJING, 15 April (Bernama) – Ekonomi China terus perlahan pada suku pertama dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6.7 peratus, lapor Xinhua News Agency.

Bagaimanapun, beberapa petunjuk utama menunjukkan kepada tanda-tanda untuk stabil.

KDNK China berkembang 6.7 peratus, tahun ke tahun, untuk mencecah 15.9 trilion yuan (AS$2.4 trilion), menurut agensi itu yang memetik Biro Perangkaan Negara (NBS).

Pertumbuhan terus berkurangan berbanding suku sebelumnya yang mencatat 6.8 peratus, kadar suku tahunan terendah sejak krisis kewangan global.

Bagaimanapun, jumlah itu sejajar dengan jangkaan pasaran dan masih dalam julat sasaran kerajaan antara 6.5 dan 7.0 peratus untuk tahun ini.

Ekonomi China terus perlahan pada suku pertama dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6.7 peratus. – AP
Ekonomi China terus perlahan pada suku pertama dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 6.7 peratus. – AP

Pelaburan aset tetap meningkat 10.7 peratus, tahun ke tahun, pada suku pertama, peningkatan yang lebih cepat berbanding 10 peratus pada tahun lepas. Pelaburan dalam sektor hartanah naik 6.2 peratus, meningkat daripada satu peratus pada 2015.

Pengeluaran industri berkembang 5.8 peratus, meningkat daripada 5.4 peratus, peningkatan yang dicatatkan bagi tempoh Januari-Februari.

Sektor perkhidmatan naik 7.6 peratus, mengatasi peningkatan 2.9 peratus dalam industri utama dan 5.8 peratus dalam industri menengah. Ia menyumbang 56.9 peratus daripada keseluruhan ekonomi, meningkat dua mata peratusan, berbanding tahun sebelumnya.

Xinhua melaporkan pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menangani kelembapan, mengurangkan kadar faedah, menurunkan cukai dan melaksanakan pembaharuan untuk meningkatkan kecekapan.

Melalui langkah tersebut, ekonomi China telah menyaksikan beberapa peningkatan sejak awal tahun ini, dengan eksport dan keuntungan industri kembali mencatat pertumbuhan dan aktiviti pembuatan meningkat.

ARTIKEL YANG SAMA